
PORT DICKSON – Spesies kura-kura Spiny Hill Turtle (Heosemys spinosa) yang berstatus Endangered atau berdepan risiko kepupusan yang sangat tinggi di habitat semula jadi menjadi antara penemuan menarik dalam Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Pasir Panjang.
Ketua ekspedisi merangkap Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Amiruddin Ahmad berkata, penemuan spesies itu merupakan antara 12 rekod baharu yang ditemukan saintis serta penyelidik serta memberikan nilai saintifik yang tinggi kepada usaha pemuliharaan biodiversiti di Negeri Sembilan.
“Melalui ekspedisi ini, selain Spiny Hill Turtle, ekspedisi ini turut merekodkan penemuan Black Giant Squirrel (Ratufa bicolor) yang berstatus Near Threatened (NT), serta dua spesies mamalia kecil lain iaitu Sunda Slow Loris (Nycticebus coucang) dan Long-tailed Macaque (Macaca fascicularis).
“Penyelidik berjaya merekodkan tiga spesies burung iaitu Green Iora (Aegithina viridissima), Grey-bellied Bulbul (Rubigula cyaniventris) dan Lesser Adjutant (Leptoptilos javanicus).
“Kajian serangga turut menghasilkan penemuan penting apabila empat spesies pepatung direkodkan buat pertama kali di Negeri Sembilan, iaitu Pornothemis serrata, Onychargia atrocyana, Pseudagrion williamsoni dan Teinobasis ruficollis,” katanya ketika sesi pengulungan ekspedisi sempena Majlis Penutupan di Pd Forest@Sungai Menyala, di sini, hari ini.
The post Kura-kura hampir pupus ditemui di Port Dickson appeared first on Kosmo Digital.

