
MELAKA - Kerajaan diarah mempergiat usaha menghapuskan kerenah birokrasi yang membebankan usahawan dan komuniti perniagaan, termasuk isu kelewatan urusan di pejabat tanah serta kesukaran menyesuaikan diri dengan sistem digital baharu.
Memberikan arahan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang meneliti beberapa langkah bagi memudahkan pelaksanaan e-Invois, menyelesaikan isu yang timbul dalam sektor e-dagang serta memperkemas urusan antara pihak perniagaan dengan agensi kerajaan.
“Banyak pandangan kita dengar mengenai usaha membantu memajukan usahawan. Ada yang mengadu, misalnya, mengenai urusan di pejabat tanah. Ada yang terpaksa menunggu berjam-jam.
“Kerenah birokrasi ini mesti diperbaiki. Ada juga yang mengadu mengenai invois AP. Saya kini di peringkat akhir untuk melihat bagaimana perkara ini boleh dipermudahkan. Kemudian ada pula isu berkaitan e-dagang. Kita (kerajaan) akan cuba menyelesaikannya sebaik mungkin,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Perdana Menteri berkata, segala prosedur pentadbiran tidak perlu perlu ditangani supaya usahawan dapat menumpukan lebih banyak masa dan sumber kepada pengembangan perniagaan, berbanding terpaksa berdepan proses kerajaan yang rumit dan memakan masa.
Presiden PKR itu turut menyentuh kebajikan pekerja gig, khususnya tuntutan supaya kumpulan berkenaan mendapat perlindungan sosial dan kebajikan yang lebih kukuh.
“Kerajaan bersetuju meneliti kadar caruman yang bersesuaian bagi pekerja gig.
“Kajian akan dijalankan bagi memastikan mereka mendapat perlindungan sewajarnya, tanpa mengabaikan ciri serta realiti pekerjaan gig,” katanya.
Langkah berkenaan mencerminkan usaha lebih menyeluruh kerajaan untuk memperkukuh perlindungan sosial dan pada masa sama, memastikan sebarang kewajipan baharu yang diperkenalkan kekal praktikal dan mampan untuk pekerja serta komuniti perniagaan. - Getaran, 16 Ogos 2026

