Kurangkan pekerja Petronas, Muhyiddin saran dijalankan secara berperingkat

LocalPolitics
11 Jun 2025 • 4:18 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa supaya pengurangan kira-kira 10% pekerja Petronas dijalankan secara berperingkat selepas mereka diberikan latihan dan bantuan untuk berdikari.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, ia termasuk latihan keusahawan dan bantuan modal untuk membolehkan pekerja yang terlibat dapat menceburi bidang perniagaan yang sesuai dengan kelayakan dan kemahiran.

Malah, katanya, dana-dana untuk membantu usahawan-usahawan Bumiputera seharusnya digunakan untuk menolong pekerja terjejas berdiri di atas kaki sendiri dan kerajaan harus bersama bertanggungjawab menangani isu berkenaan.

“Walaupun pekerja ini adalah pekerja kontrak, mereka sudah lama berkhidmat dengan Petronas. Mereka mempunyai keluarga yang perlu disara.

“Pemberhentian secara beramai-ramai tanpa diberikan peluang latihan tertentu untuk mendapatkan pendapatan bagi meneruskan kehidupan mereka adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan,’’ katanya menerusi kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Petronas memaklumkan ia bakal mengurangkan 10% atau 5,000 tenaga kerjanya dalam mendepani cabaran operasi yang sukar terutamanya disebabkan kejatuhan harga minyak mentah.

Pada Isnin, Petronas mengulangi komitmennya untuk menjaga kebajikan pekerja di tengah pelaksanaan penstrukturan semula syarikat yang akan menyaksikan pengurangan kira-kira 10% tenaga kerja, termasuk menawarkan pakej pemisahan yang kompetitif.

Menurut syarikat berkenaan, ia bagi menyokong pekerja yang terjejas dengan langkah itu, program peralihan menyeluruh disediakan, dan memastikan setiap keputusan dibuat secara adil, beretika dan profesional.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, tidak dinafikan Petronas sedang berhadapan dengan cabaran yang besar akibat kejatuhan harga minyak dunia dan trend peralihan kepada tenaga yang boleh diperbaharui.

Justeru, ia memerlukan pelan jangka panjang untuk memastikan syarikat milik negara terus lestasi dan berdaya saing.

“Sebagai syarikat milik negara yang menyumbang sejumlah dividen yang besar kepada kerajaan dan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, kepentingan Petronas dan pekerjanya mesti sentiasa dilindungi oleh kerajaan.

“Kerajaan juga diingatkan supaya lebih berhemah dalam menggunakan dana daripada Petronas dalam keadaan hutang negara semakin meningkat dan ekonomi masih lemah sehingga menjejaskan aliran tunai Petronas sendiri.

“Justeru, adalah wajar bagi kerajaan untuk membentangkan pelan kelesatarian Petronas dan hala tuju industri minyak dan gas negara dalam kadar segera,’’ katanya. - 11 Jun, 2025