
KUALA LUMPUR – Kolej Poly-Tech Mara Sdn. Bhd. (KPTMSB) memperkukuh penilaian program akademiknya bagi memastikan kurikulum yang ditawarkan memenuhi keperluan industri dan kehendak pasaran pekerjaan semasa.
Ketua Pegawai Eksekutif KPTMSB, Radzuan Razali berkata, penglibatan Panel Penilai Luar (PPL) dalam kalangan ahli akademik dan pemain industri penting untuk menilai mutu program secara profesional serta mengenal pasti ruang penambahbaikan.
Menurutnya, pandangan pihak luar membantu institusi meneliti kesesuaian kurikulum, kaedah pengajaran dan pencapaian pembelajaran pelajar agar selari dengan perkembangan semasa.
“Panel Penilai Luar bukan sekadar pihak yang menilai, sebaliknya rakan strategik kami dalam usaha memperkukuh mutu akademik,” katanya pada Majlis KPTM Excellence Partners Appreciation 2026 di sini.

Beliau berkata, pendekatan itu turut memastikan program pengajian mematuhi standard Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan badan profesional berkaitan.
KPTMSB menawarkan 55 program pengajian menerusi KPTM dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), dengan jumlah keseluruhan kira-kira 35,000 pelajar.
Radzuan berkata, kerjasama industri turut diterapkan dalam pembangunan kurikulum, termasuk melalui Pembelajaran Berasaskan Tindakan (Action-Based Learning) bagi menghubungkan teori dengan amalan sebenar di tempat kerja.
Katanya, penilaian program secara berkala juga penting untuk mengenal pasti perubahan yang diperlukan supaya kandungan pengajian kekal relevan dengan kemajuan teknologi dan keperluan majikan.
Sementara itu, Pengarah Kanan Pelaburan Majlis Amanah Rakyat, Lailatul Asmah Mohd. Tahir berkata,keterbukaan institusi terhadap pandangan profesional mampu mengekalkan standard pendidikan serta meningkatkan mutu program yang ditawarkan.
Pada majlis itu, beliau menyampaikan plak penghargaan kepada 46 PPL yang menyumbang kepakaran dalam usaha penambahbaikan program akademik KPTM.
The post Kurikulum KPTM penuhi keperluan industri appeared first on Kosmo Online.

