
TAMPARULI: Sebanyak RM7.96 bilion disalurkan kepada kepada 282,849 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi di seluruh negara menerusi tujuh agensi pembiayaan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop).
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, jumlah pembiayaan setakat September 2025 itu, membabitkan agensi SME Bank, Bank Rakyat, Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (Aim), Pernas, SME Corp dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Daripada RM7.96 bilion pembiayaan itu, sebanyak RM770.1 juta disalurkan kepada 40,797 usahawan dan koperasi di Sabah, dan SME Bank sahaja meluluskan sebanyak RM314.3 juta kepada 52 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini.
“Saya harap pembiayaan ini terus ditingkatkan agar lebih ramai usahawan dan koperasi menerima manfaat daripada agensi-agensi pembiayaan di bawah Kuskop,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SME Bank di sini, Isnin.
Menurut Ewon, dalam Belanjawan 2026, kerajaan melalui Kuskop akan memberi perhatian kepada penghasilan skala usahawan PMKS.
Tambahnya, peranan agensi-agensi pembiayaan ini sangat penting untuk merealisasikan agenda berkenaan.
Mengenai program itu, Ewon berkata, SME Bank memperuntukkan RM20,000 bagi membantu 100 pelajar dalam kalangan keluarga B40, terdiri daripada lima sekolah di daerah Tuaran untuk mendapatkan cermin mata baharu.
Beliau turut menghargai inisiatif SME Bank yang tampil membantu masyarakat melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu.
“Saya menghargai inisiatif SME Babk menyediakan dana untuk program CSR ini dan mudah-mudahan lebih banyak lagi sektor korporat dan syarikat berkaitan kerajaan serta agensi kerajaan turun ke lapangan untuk membantu masyarakat kita yang memerlukan melalui program CSR masing-masing,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) Kuskop, Datuk Saidatu Akhma Hassan; Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pengurusan Sekolah) Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran, Jamdin Jeman; Pemangku Ketua Pegawai Strategi Korporat SME Bank, Hamdan Mohd Habibollah dan Presiden Lions Club Tuaran, Kapitan Frankie Goh.
