Kutipan cecah RM20 juta, Chelot akan ada sekuel

LocalMovie
5 Oct 2026 • 9:59 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kutipan cecah RM20 juta, Chelot akan ada sekuel

KEJAYAAN filem aksi tempatan, Chelot yang merekodkan kutipan RM19.5 juta membuka ruang kepada penghasilan kesinambungan cerita atau sekuel menerusi Chelot 2.

Pengarahnya, Adrian Teh mengakui angka minggu pertama membuatkan pihak produksi ketika itu tidak berani meletakkan sasaran terlalu tinggi, namun keyakinannya kembali memuncak melihat sambutan padu khalayak.

“Secara jujurnya, angka kutipan pada minggu pertama tidak begitu baik. Ketika itu kami menganggap mungkin kutipan akhir Chelot sekitar RM10 juta sahaja.

“Namun, disebabkan promosi dari mulut ke mulut dan ulasan positif penonton, kami mencatat kutipan lebih baik pada minggu kedua. Kami sangat bersyukur.

“Apabila kami melihat sambutan yang positif daripada penonton seperti ini, ketika itulah kami membuat keputusan bahawa kami boleh menghasilkan kesinambungan cerita,” katanya pada majlis penghargaan filem berkenaan, baru-baru ini.

Bagi Adrian, lonjakan kutipan pada minggu kedua menjadi bukti bahawa penonton sendiri mampu menjadi kuasa paling besar dalam menentukan perjalanan sesebuah filem.

“Saya rasa apa yang berlaku selepas minggu pertama sangat bermakna kepada kami. Penonton yang sudah mengikuti Chelot mula bercakap tentang filem ini dan memberikan ulasan positif.

“Dari situ, orang lain pula teringin datang menonton, sekali gus momentum tersebut membantu kutipan Chelot untuk terus melonjak hampir mencecah ke angka RM20 juta,” ujarnya.

Image from: Kutipan cecah RM20 juta, Chelot akan ada sekuel
Pengarah Chelot Adrian Teh teruja dengan sambutan hangat filem Chelot.

Bercerita lanjut, pengarah yang sinonim dengan filem aksi itu berkata, respons positif itu memberikan keyakinan kepada pihak produksi untuk merealisasikan perancangan sebenarnya yang sudah lama tersimpan.

Sambungan sarat kejutan

Menurut Adrian, idea untuk mengembangkan dunia Chelot bukan sesuatu yang muncul selepas filem pertama mencatat kutipan tinggi, sebaliknya sudah dirancang sejak awal pembikinannya.

Ulasnya lagi, keputusan meneruskan sekuel juga bukan semata-mata atas kejayaan kutipan, bahkan turut digandakan keinginan meneroka lebih jauh dunia serta karakter yang  diperkenalkan dalam naskhah pertama.

“Memang ada niat menyambung filem Chelot dan mengembangkan lagi dunia itu, namun semuanya berbalik kepada maklum balas khalayak. 

“Kena lihat dahulu penerimaan serta keterujaan penonton terhadap filem pertama,”  katanya.

Begitupun, Adrian enggan membongkar terlalu banyak rahsia mengenai sekuel tersebut disebabkan mahu plot serta penceritaan naskhah sambungan nanti memberikan kejutan.

“Sememangnya ada perubahan, cuma saya tidak boleh berkongsi terlalu banyak buat masa ini kerana tidak mahu tunjuk ‘spoiler’. Tiada kejutan nanti.

“Kita mahu penonton yang sudah menyokong filem pertama mendapat pengalaman yang berbeza apabila menonton naskhah kedua nanti,” ulasnya.

Kejayaan Chelot juga memberi satu mesej penting kepada Adrian bahawa filem tempatan masih mempunyai ruang besar untuk berkembang sekiranya diberi peluang dan disokong penonton.

“Saya sangat bersyukur dengan apa yang berlaku. Kami bermula dengan angka minggu pertama yang tidak begitu baik, tetapi akhirnya penonton memberikan kami peluang untuk terus berkembang,” katanya.

Chelot dibintangi Beto Kusyairy, Shukri Yahaya, Shaheizy Sam, Nadhir Nasar, Alicia Amin serta Azhan Rani.



The post Kutipan cecah RM20 juta, Chelot akan ada sekuel appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved