
SHAH ALAM, 23 JUN: Kutipan hasil Selangor terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mencecah RM1.7 bilion daripada sasaran keseluruhan RM2.8 bilion bagi tahun ini.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu dijangka terus meningkat menjelang akhir tahun ini.
"Tiga bulan pertama 2026, kita melihat ada sedikit perlahan hasil negeri...kita semak dan teliti setiap waktu. Masuk Jun, kita telah berada dalam suasana kemasukan nilai hasil agak sepadan dengan hasil sasaran.
"Masih dalam 'track' walaupun tergelincir peringkat awal kerana awal bulan tahun ini berada dalam suasana perayaan, ada Thaipusam, Tahun Baharu Cina, Ramadan, Aidilfitri dan Aidiladha. Budaya masyarakat produktiviti sedikit menurun dan kita cukup faham...dan kita masih menggesa penjawat awam bergerak sebaik mungkin.
"Selepas musim perayaan hilang reda, sekarang fokus sudah ada hasil RM1.7 bilion kutipan. Insya-Allah perlu cari RM1.1 bilion untuk capai RM2.8bilion. Kalau ikut unjuran kita ada, boleh capai menjelang akhir tahun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 pada persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Sebelum ini, ketika membentang Belanjawan 2026 Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM2.8 bilion.
Katanya, antara penyumbang utama kepada hasil negeri adalah Premium Tanah iaitu RM1.02 bilion bersamaan 36.3 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan.






