KWSP Catat Pendapatan Pelaburan RM63.99 Bilion, Naik 11% Dalam Tempoh Sembilan Bulan

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2025 • 5:29 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.99 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, meningkat 11% berbanding RM57.57 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun 2024.

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 adalah sebanyak RM25.07 bilion, meningkat 27 peratus berbanding RM19.67 bilion pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata pencapaian tersebut adalah hasil pelaksanaan alokasi aset strategik yang membolehkan KWSP mengambil peluang daripada pemulihan pasaran ekuiti pasca ‘Liberation Day’.

Pendapatan pelaburan RM63.99 bilion

image is not available

“Kami yakin terhadap kekuatan ekonomi Malaysia, yang merangkumi 61% portfolio KWSP, di samping melaksanakan strategi pelaburan global yang menyumbang 53% daripada jumlah pendapatan pelaburan pada suku ini.
“Walaupun prestasi sembilan bulan pertama adalah memberangsangkan, kami kekal berwaspada memasuki suku keempat.
“Pertumbuhan dalam pasaran ekuiti global telah meningkatkan penilaian, manakala petunjuk ekonomi global yang tidak sekata boleh memperlahankan kadar penurunan kadar faedah.
“KWSP menguruskan risiko-risiko ini secara aktif dengan mempercepatkan pengambilan keuntungan pada kadar yang mungkin sukar dilaksanakan pada S4,” katanya dalam satu kenyataan KWSP, hari ini.

Sementara itu, sepanjang suku tahun yang dikaji, Ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan dengan menjana RM16.95 bilion, atau 68% daripada jumlah pendapatan pelaburan.

Instrumen Pendapatan Tetap terus memainkan peranan dalam pemeliharaan modal dengan menjana RM6.75 bilion, atau 27% daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tahun tersebut.

Hartanah dan Infrastruktur menyumbang RM1.14 bilion (4%), manakala Instrumen Pasaran Wang pula mencatatkan keuntungan sebanyak RM0.23 bilion (1%).

Daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi S3 2025, sebanyak RM20.48 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional, manakala RM4.59 bilion untuk Simpanan Shariah.

Sehingga 30 September 2025, jumlah aset pelaburan KWSP adalah sebanyak RM1.37 trilion, meningkat 12% berbanding tahun sebelumnya.

“Pelaburan antarabangsa merangkumi 39% daripada jumlah aset, disokong oleh penilaian pasaran ekuiti global yang berdaya tahan. Sepanjang suku tersebut, pelaburan antarabangsa menjana RM13.33 bilion, iaitu 53% daripada jumlah pendapatan pelaburan,” ujar KWSP lagi.

Sumber: KWSP

The post KWSP Catat Pendapatan Pelaburan RM63.99 Bilion, Naik 11% Dalam Tempoh Sembilan Bulan appeared first on Borak Daily.