
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan terus fleksibel dan berpandukan strategi peruntukan aset untuk memastikan keuntungan jangka masa panjang daripada pelaburannya.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata walaupun turun naik pasaran masih ketara manakala isu geopilitik berubah sejak beberapa tahun lepas, pendirian KWSP akan terus berpandukan sentimen pasaran dan strateginya.
“Trend pasaran mungkin menurun namun, masih ada peluang untuk kami menjana wang. Selagi kami memilih saham yang betul dan boleh mendagangkannya dengan baik, kami boleh menjana wang.
“Perkara penting adalah KWSP mesti fleksibel, mesti cekap supaya kita boleh menguruskan (portfolio pelaburan), ” katanya kepada pemberita pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2023 di sini, pada Rabu.
Ketika ditanya mengenai strategi pelaburan KWSP ketika penyusutan ringgit, beliau berkata memandangkan strategi peruntukan aset telah ditetapkan dan sah selama tiga tahun, terdapat beberapa julat dagangan yang boleh bergerak dalam lingkungan pasaran, menggunakan kapasiti yang ada.
“Perkara penting yang perlu diingat, KWSP adalah pelaburan institusi jangka panjang. Kita mesti mengambil peluang dan melabur dengan teratur. Keputusan dagangan jangka masa pendek adalah keputusan dagangan jangka pendek. Kami tidak mengalihkan KWSP secara mendadak, dan pelaburan kami juga dibuat dalam pelaburan berjangka masa lebih panjang,” katanya.
Amir Hamzah berkata pada masa ini, 64 peratus daripada jumlah peruntukan aset dilaburkan di dalam negara, iaitu dalam asas ringgit.
Bagi pelaburan yang dibuat di luar negara, tindakan itu bergantung sama ada pelaburan telah merealisasikan nilainya atau tidak, selain membuat penilaian jika perlu menjual atau membeli lebih banyak aset.
“Ini adalah ciri atau elemen dalam situasi perniagaan biasa kami. Jika menjual beberapa aset, kami berpandangan harga pasaran adalah baik pada masa itu dan jika kami memilih mana-mana pelaburan baharu, kami akan melabur ke dalamnya,” katanya.
Selain itu, beliau berkata dalam membantu rakyat untuk terus menabung dan mempunyai simpanan yang cukup apabila bersara, KWSP sedang menggalakkan ahli yang berumur 55 tahun supaya mengeluarkan wang simpanan secara berkala daripada mengeluarkan semua wang sekali gus.
“Dari segi perlindungan sosial, (pengeluaran sekali gus) ini mungkin bukan cara yang bijak kerana simpanan mereka mungkin tidak sampai ke hujung hayat. Kita mahu menyarankan pengeluaran berkala secara bulanan, cukup untuk hidup dan wang selebihnya kekal dalam KWSP dan terus dapat terkumpul, memberikan mereka pulangan lebih baik.
“Jumlah pengeluaran pula terpulang kepada ahli dengan mereka boleh memohon untuk pengeluaran berkala secara bulanan ini secara sukarela,” katanya.
Beliau berkata buat masa ini, pihak KWSP masih memerlukan perbincangan lanjut dengan kerajaan sama ada kaedah pengeluaran berkala secara bulanan ini boleh diputuskan sebagai mandatori atau sukarela, atau memperkenalkannya kepada ahli baharu. -Bernama
