KWSP tolak dakwaan berkaitan pelaburan MAHB

LocalBusiness & Finance
12 Feb 2025 • 1:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
KWSP menolak sebarang dakwaan salah laku atau pelanggaran peraturan dalam urusan jual beli saham MAHB.

KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menolak sebarang dakwaan salah laku atau pelanggaran peraturan dalam urusan jual beli saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan kerugian yang dialami daripada penjualan itu.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, KWSP berkata, tuduhan berkenaan adalah tidak berasas.

"Selaras dengan Polisi 'Chinese Wall' KWSP, terdapat sempadan yang ketat antara pasukan yang mempunyai akses kepada maklumat bukan awam dan pasukan yang mengendalikan pelaburan pasaran awam bagi memastikan tiada pertindihan maklumat di antara kedua-duanya.

"Pasukan pelaburan pasaran awam beroperasi secara bebas dan membuat keputusan dagangan hanya berdasarkan kepada maklumat yang tersedia secara umum," katanya.

KWSP menambah, pihaknya sentiasa mengalu-alukan sebarang semakan dan siasatan terhadap pelaburannya dalam MAHB serta kekal komited terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban. - Bernama