
KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengekalkan kadar dividen melebihi enam peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dengan pengagihan keseluruhan berjumlah RM79.6 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata kadar dividen untuk Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah masing-masing ditetapkan pada 6.15%.
“Keseluruhan jumlah agihan pendapatan untuk 2025 adalah RM79.6 bilion,” katanya pada Taklimat Prestasi Kewangan KWSP di Menara KWSP, Kwasa Damansara, hari ini.
Daripada jumlah itu, RM67.1 bilion diagihkan kepada Simpanan Konvensional manakala RM12.5 bilion untuk Simpanan Shariah.
Dividen berkenaan akan dikreditkan selewat-lewatnya esok.
Bagi tahun 2024, KWSP mengumumkan kadar dividen 6.3%bagi kedua-dua Simpanan Konvensional dan Shariah, dengan jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM73.24 bilion.
KWSP terus mencatat prestasi kukuh dengan pengisytiharan dividen lebih tinggi bagi tahun 2023.
Simpanan Konvensional merekodkan kadar 5.50% berbanding 5.35% pada 2022, dengan jumlah agihan sebanyak RM50.33 bilion.
Simpanan Shariah pula melonjak kepada 5.40% berbanding 4.75% pada tahun sebelumnya, melibatkan agihan RM7.48 bilion. Caruman bersih sebanyak RM66.5 bilion turut mengukuhkan kedudukan dana.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Zulqarnain Onn, aset pelaburan KWSP meningkat 12.8% kepada RM1.41 trilion berbanding RM1.25 trilion pada tahun sebelumnya, didorong oleh pendapatan portfolio dan caruman bersih yang kukuh.
Ekuiti kekal sebagai penyumbang utama, menjana RM50.7 bilion atau 64% daripada jumlah pendapatan pelaburan pada 2025, mengatasi RM49.9 bilion yang dicatatkan pada 2024.
Pulangan pelaburan keseluruhan sederhana pada kadar 7.9%, dipengaruhi ketidaktentuan pasaran global dan kelembapan domestik. Namun, pelaburan Ekuiti Persendirian yang merangkumi kira-kira 8% daripada portfolio ekuiti mencatatkan ROI lebih tinggi iaitu 10.5%. - 28 Februari, 2026
The post KWSP umum 6.15% dividen Simpanan Shariah dan Konvensional appeared first on Scoop.

