PONTIAN - Program Bazaar Peduli Rakyat (BPR) yang kini masuk lokasi kelapan penganjuran akan ditambah baik dari segi kekerapan, lokasi dan penglibatan usahawan dalam jangka masa panjang supaya dapat diperluaskan manfaatnya kepada segenap lapisan masyarakat.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, projek perintisnya dimulakan di Kelantan dan Terengganu didapati sangat dekat dengan rakyat serta dalam masa yang sama memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Menurutnya, penganjuran bazaar di premis-premis kerajaan dapat mengurangkan kos, usahawan yang terlibat tidak perlu menyewa sekali gus membolehkan barangan keperluan asas dapat dijual pada harga lebih berpatutan.
“Itu sebab harga barangan kita dapat kurangkan antara lima hingga 30 peratus. Macam tadi kita lelong ikan merah yang biasanya RM35 sekilogram (tetapi) ikan yang beratnya hampir dua kilogram itu, kita boleh jual dengan harga RM30 seekor.
“Maka ia membuktikan bahawa cara ini sangat efektif dan insya-ALLAH di bawah MOA (kementerian), FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan), LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang) dan LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) akan memikirkan penambahbaikan supaya lebih ramai rakyat berkunjung ke bazaar ini dan mendapat harga yang sangat berpatutan,” katanya kepada pemberita pada pelancaran Program BPR di Masjid Dato’ Mohd Noh Gadot, Serkat dekat sini hari ini.
Program BPR yang merupakan kerjasama tiga agensi di bawah MOA iaitu FAMA, LPP dan LKIM itu diperkenal pada 1 Februari dan telah melibatkan 254 usahawan yang menawarkan pelbagai jenis produk terutamanya barangan keperluan asas.
Buat masa ini, penganjurannya diadakan di lokasi terpilih di premis-premis kerajaan dan dijangka akan diadakan sekurang-kurangnya sebulan sekali di seluruh negara.
“Konsep ini (BPR) akan diteruskan. Saya akan kaji lokasi-lokasi penting, bukan sekadar terhenti di peringkat negeri tetapi kita cuba melaksanakan di daerah dan kalau boleh dalam masa tiga hingga empat tahun ini, BPR ini akan wujud di kampung-kampung bagi mendapatkan harga bekalan makanan yang berpatutan,” katanya.
Pada penganjuran BPR hari ini yang bermula seawal 7 pagi sehingga 4 petang ini, menjangkakan akan dikunjungi 3,000 hingga 5,000 masyarakat setempat sekitar Tanjung Piai dengan jualan produk agromakanan, demo produk, penjualan barangan keperluan asas serta kaunter khidmat pelanggan dari agensi dan jabatan berkaitan.
Turut terlibat dalam program tersebut pada hari ini termasuk Pasar Raya Econsave Cash & Carry Sdn Bhd, yang turut mengedarkan 1,000 kampit tepung seberat satu kilogram secara percuma kepada masyarakat setempat yang berkunjung ke bazaar berkenaan.
Selain itu, Salahuddin turut menyampaikan sumbangan program ‘Jom Kongsi Rezeki-My Food for Ummah’ kepada kira 50 golongan asnaf dan ibu tunggal sekitar kawasan berkenaan, selain pemberian kit tanaman nanas kepada pengerusi-pengerusi masjid dari kawasan sekitar. - Bernama
