LADA rugi lebih RM3 juta hasil pajakan selagi perjanjian tanah St Regis tidak dimuktamad

19 Mar 2024 • 5:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

LADA rugi lebih RM3 juta hasil pajakan selagi perjanjian tanah St Regis tidak dimuktamad

herman

19/03/2024 - 17:03

KUALA LUMPUR 19 Mac - Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) tidak akan dapat mengutip hasil pajakan bernilai RM3.19 juta jika isu perjanjian pajakan status tanah Hotel St Regis Langkawi tidak dimuktamadkan segera.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata Kementerian Kewangan juga perlu mengemukakan pelan penyelamatan komprehensif Hotel St Regis Langkawi kepada PAC.

"Pelan itu merangkumi penstrukturan semula hutang, pengurusan perhotelan dan 'way forward' hotel berkenaan selain status Tetuan Deloitte selaku Receiver and Manager (R&M)," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Perkara itu antara lima syor dikemuka PAC dalam laporannya berhubung Pengurusan Pembangunan Hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi di bawah LADA dan MoF yang sebelum ini dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022.

Kerajaan Negeri pernah menjelaskan pemilikan tanah resort mewah yang dibuka sejak April 2016 itu masih belum diselesaikan sehingga kini disebabkan tadbir urus sebelum ini semasa projek berkenaan dibangunkan.

Laporan media mendedahkan LADA tidak dapat mengutip hasil pajakan projek pembangunan Hotel St Regis kerana tapak tanah pusat peranginan itu masih dimiliki agensi itu dan tidak pernah dipajak kepada sesiapa.


Beliau menjelaskan, perjanjian pajakan untuk menyempurnakan hak milik tanah berkenaan antara LADA dan INR Sdn Bhd tidak dapat ditandatangani kerana status tanah diperoleh adalah pajakan sedangkan syarat perjanjian pemegang saham menetapkan tanah mesti berstatus pegangan bebas.

"Lanjutan daripada perjanjian yang tidak dimeterai ini, LADA tidak dapat mengutip nilai pajakan RM660,000 setahun bagi tempoh empat tahun 10 bulan dengan jumlah nilai pajakan sebanyak RM3.19 juta," katanya.

image is not available

Mas Ermieyati berkata, dalam syor lain, LADA perlu meningkatkan tahap kecekapan pengurusan projek yang dilaksanakan supaya dapat disiapkan mengikut garis masa, kualiti dan pulangan seperti disasarkan.

"LADA perlu memastikan segala perancangan pembangunan dan promosi pelancongan pada masa akan datang ditadbir urus dengan baik supaya Langkawi kekal menjadi destinasi pelancongan bertaraf dunia," jelasnya.

MoF juga, katanya, perlu lebih cekap dalam memantau dan mengawal selia syarikat syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) supaya tidak berlaku kecuaian yang boleh menjejaskan kepentingan kerajaan.

"MoF juga perlu sentiasa memastikan syarikat MKD mampu menjana keuntungan dan berfungsi, selaras asas penubuhan syarikat," katanya.

Beliau berkata, laporan itu dibentang selepas PAC mengadakan prosiding pada 30 November 2023 dan 13 Disember 2023, dengan memanggil tiga saksi termasuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, PAC akan mengadakan lawatan kerja dan prosiding berhubung isu itu di Langkawi pada Jun depan untuk mengetahui maklum balas LADA dan MoF terhadap syor jawatankuasa itu. - DagangNews.com