Ladang babi dipindah ke Bukit Tagar secepat mungkin  

LocalPolitics
12 Jan 2026 • 4:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Izham ketika sidang media di Pejabat MMKN pada Isnin.

SHAH ALAM - Perancangan untuk memindahkan ladang penternakan babi ke kawasan berpusat moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor akan disegerakan selewat-lewatnya sebelum hujung tahun ini.

Itu antara intipati perbincangan antara Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim ketika menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebentar tadi.

Menurut Izham, isu tanah di Bukit Tagar juga perlu diselesaikan sesegera mungkin bagi membolehkan proses pemindahan ke ladang seluas 202.34 hektar itu dibuat.

“Dari segi pemberian lesen, berdasarkan titah Sultan Sharafuddin dalam pertemuan tadi, tidak ada yang akan diperbaharui di kawasan Kuala Langat dan Sepang walaupun sementara. Lesen dikeluarkan hanya di Bukit Tagar. 

“Tetapi, saya kena bawakan perkara ini ke dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) terlebih dahulu untuk memuktamadkannya.

“Isu ini sudah lama, jadi kami nak selesaikannya kerana ia berkaitan pencemaran bukan setakat bau, tetapi air juga. Ditambah pula demam babi Afrika yang kritikal, kita mesti tangani isu ini dengan lebih lestari,” katanya pada sidang media di Pejabat Ahli MMKN Selangor di sini pada Isnin.

Izham turut mengambil maklum persoalan baginda berhubung keluasan ladang babi di Bukit Tagar yang disifatkan terlalu mega.

Jelasnya, terdapat keperluan berbuat demikian kerana mengambil kira perimeter zon penampan di sekeliling kawasan, bahkan jarak dari ladang ke ladang.

Selain itu, katanya, ladang penternakan moden mesti dibuat tertutup bagi mengelakkan pencemaran bau atau penyebaran penyakit, saluran kumbahan tidak mengalir masuk ke dalam sungai berdekatan dan sebagainya, menjadi antara faktor kawasan mesti luas.

“Tuanku juga ada menyebut tadi keperluan untuk mengenal pasti berapa jumlah atau populasi babi. Jangan sampai ada peringkat bawa eksport,” ujarnya lagi.

AKAN MENYUSUL