
KUANTAN: Kerajaan Pahang dalam proses mengutip denda daripada syarikat terlibat dalam pelaksanaan projek ladang hutan atas kegagalan mematuhi syarat ditetapkan termasuk tidak menanam semula selepas membersihkan lot diberikan, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Sehubungan itu, Wan Rosdy berkata adalah tidak tepat jika dikatakan kerajaan negeri tidak mengutip denda daripada syarikat terlibat dan pihaknya juga menerima pelbagai alasan daripada syarikat berkenaan, dalam proses mereka menuntut denda itu.
Selain itu, Wan Rosdy memaklumkan pihaknya juga telah berjumpa dengan Jabatan Audit Negara Pahang untuk membentangkan maklumat sebenar ekoran terdapat beberapa perkara yang kurang tepat pada Laporan Ketua Audit Negara 2021, berhubung pelaksanaan projek ladang hutan di negeri ini.
“Susulan itu, kerajaan negeri telah buat surat kepada Pengarah Audit Negara untuk dibuat pembentangan kerana ada perkara tidak tepat, ada percanggahan yang kami rasa perlu dinyatakan... ada yang (dilaporkan) diambil terlalu lama sebelum (laporan itu) menyebabkan ia tidak menggambarkan situasi sebenar,“ katanya.
Wan Rosdy berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Cheka) yang ingin tahu tindakan terhadap syarikat yang gagal mematuhi syarat pelaksanaan ladang hutan, sehingga menyebabkan ketirisan hasil kepada kerajaan negeri di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Tuan Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang mendakwa terdapat 33 syarikat terlibat dalam projek itu dan hanya lima peratus daripada kawasan yang diperuntukkan bagi ladang hutan ditanam semula dan seharusnya mereka dikenakan denda jutaan ringgit.
Berhubung soalan berkaitan jumlah hutan simpan kekal yang telah dinyahwartakan dan langkah diambil menggantikannya semula, Wan Rosdy berkata jumlah keluasan kawasan diwartakan lebih besar daripada yang dinyahwarta.
“Pada tahun 2022, jumlah keluasan (kawasan) pewartaan berkeluasan 1,183 hektar manakala jumlah luas pewartaan masuk seluas 2,578 hektar,“ katanya.
Beliau turut memaklumkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang merekodkan luas Hutan Simpan Kekal sehingga Disember 2022 seluas 1.59 juta hektar iaitu bersamaan 44.37 peratus daripada keluasan negeri Pahang. -Bernama

