Lagi kemalangan libatkan bas

LocalTravel
22 Jun 2025 • 9:08 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sebuah bas membawa 25 penumpang terbabas di KM12 arah turun dari Genting Highlands. Foto PDRM

BENTONG - Seramai 25 penumpang berdepan detik cemas selepas bas dinaiki terbabas dan melanggar tembok jalan di Kilometer 12 arah turun dari Genting Highlands di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu, pemandu bas berusia 54 tahun serta dua penumpang wanita masing-masing berusia 74 tahun dan seorang warga asing berusia 75 tahun mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan awal mendapati bas tersebut dalam perjalanan dari Genting Highlands menuju ke Serdang.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, ketika melalui selekoh, pemandu bas dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar tembok jalan.

“Kejadian menyebabkan pemandu dan dua penumpang cedera ringan dan telah dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan.

“Tiada kenderaan lain terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika memandu, terutama di kawasan berbukit dan memastikan kenderaan diselenggara dengan baik.