
Lagu Faizal Tahir, Siti Nurhaliza “Dirgahayu” Inspirasi Kisah Sahabat Rasulullah SAW
Siapa sahaja yang tidak terpukau dengan lagu “Dirgahayu” yang dinyanyikan oleh dua sosok penyanyi terkenal Malaysia, Faizal Tahir dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Meski sudah lama berada di pasaran, lagu itu masih terus mendapat perhatian.
Namun, tahukah anda bahawa di sebalik bait-bait lirik yang indah, tersembunyi makna yang mendalam dan penuh inspirasi?
Terdahulu, Faizal Tahir mendedahkan bahawa lagu “Dirgahayu” sebenarnya diinspirasikan daripada kisah sahabat Rasulullah SAW, iaitu Sayyidina Hanzalah.
https://x.com/faizal_tahir/status/1254816252398206985?s=46
“Lagu ini adalah inspirasi dari kisah Hanzalah, sahabat Nabi Muhammad SAW yang mati syahid dalam perang Uhud setelah baru sahaja dinikahkan.
“Nabi tak bagi dia datang supaya Hanzalah dapat bersama isterinya. Tapi dia datang juga. Malaikat mandikan jenazah dia. Allahuakbar,” tulis Faizal Tahir dalam hantaran di laman X.
Kesyahidan Sayyidina Hanzalah berdasarkan kitab Fadhilat Amal
Sayyidina Hanzalah tidak menyertai peperangan Uhud sejak awal lagi.
Diriwayatkan bahawa beliau baru sahaja melangsungkan perkahwinan. Beliau telah bersama dengan isterinya.
Selepas itu, ketika beliau sedang bersedia untuk mandi junub malah telah pun duduk untuk mandi dan sedang membasuh kepalanya, tiba-tiba kedengaran di telinganya suara melaungkan berita kekalahan orang Islam.
Beliau tidak dapat bersabar lagi. Dalam keadaan sedemikian beliau telah menyambar pedang dengan tangannya langsung mara ke medan perang.
Beliau telah menyerang orang-orang kafir dengan bersungguh-sungguh sehingga beliau gugur syahid.
Oleh kerana orang syahid yang tidak berjunub akan dikebumikan tanpa dimandikan, maka Sayyidina Hanzalah pun telah dilakukan sedemikian.
Namun, Rasulullah SAW telah nampak malaikat sedang memandikan beliau.
Rasulullah SAW telah menyampaikan berita tentang para malaikat memandikan mayat Sayyidina Hanzalah itu kepada para sahabat.
Sayyidina Abu Sa’id Sa’idi berkata, “Mendengarkan sabdaan Rasulullah SAW itu saya telah pergi melihat Sayyidina Hanzalah. Saya nampak air masih bertitisan jatuh dari kepala beliau.”
Setelah pulang, Baginda SAW menyelidiki keadaan yang sebenar dan mendapati bahawa beliau telah pergi ke medan perang tanpa sempat mandi junub.

Sumber: Faizal Tahir via X, Muhammad via TikTok
The post Lagu Faizal Tahir, Siti Nurhaliza “Dirgahayu” Inspirasi Kisah Sahabat Rasulullah SAW appeared first on Siakap Keli.



