
KUALA LUMPUR: Semangat patriotisme dan perpaduan rakyat berbilang kaum terus disemarakkan menerusi pelancaran lagu patriotik Kita Warga Malaysia yang membawa mesej kebersamaan, keharmonian serta kecintaan terhadap tanah air bersempena Bulan Kebangsaan.
Karya ciptaan Dr. Lee Tuck Wah itu menggabungkan elemen muzik, filem, pendidikan dan seni dalam usaha mengajak seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang menghayati identiti bersama sebagai warga Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, penghasilan karya berkenaan amat bertepatan dengan sambutan Bulan Kebangsaan dan mampu menyuntik semangat baharu dalam kalangan masyarakat untuk terus mencintai negara.
“Melodi lagu ini sangat menarik. Saya difahamkan proses komposisinya masih dalam peringkat akhir, namun semangat daripada pihak sekolah, universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit cukup kuat.
“Liriknya pula berkisar mengenai Rukun Negara sebagai asas perpaduan serta kebersamaan masyarakat berbilang kaum dan agama di bawah satu negara, iaitu Malaysia.
“Pada saya, karya sebegini bertepatan dengan suasana Bulan Kebangsaan. Lagu seperti ini perlu diketengahkan bagi membawa semangat baharu untuk mencintai negara,” katanya ketika merasmikan pelancaran lagu tersebut.

Sementara itu, Dr. Lee berkata, Rukun Negara menjadi jiwa dan tunjang utama Kita Warga Malaysia, sekali gus membezakan karya berkenaan daripada lagu-lagu patriotik lain.
“Bagi saya, Rukun Negara ialah jiwa karya ini. Ini merupakan lagu pertama Malaysia yang memasukkan Rukun Negara sebagai elemen utama. Lima prinsip Rukun Negara menjadi asas serta pembukaan lagu.
“Saya berharap Kita Warga Malaysia bukan sekadar didengar, sebaliknya dinyanyikan, difahami dan diamalkan. Saya mahu sekolah di seluruh Malaysia menghasilkan video kreatif Kita Warga Malaysia mengikut identiti negeri masing-masing.
“Sabah dengan wajah Sabah, Sarawak dengan wajah Sarawak dan setiap negeri dengan cerita sendiri. Kita berbeza budaya, tetapi tetap satu negara,” ujarnya dalam sidang media pelancaran video muzik patriotik Kita Warga Malaysia, di sini.
Lee turut mengumumkan kandungan khas yang dirakam ketika majlis pelancaran itu akan ditayangkan menerusi saluran YouTube dan media sosial Kita Warga Malaysia pada 30 Ogos 2026, tepat pukul 8.31 malam.
Lagu tersebut turut menampilkan gabungan pelbagai budaya masyarakat Malaysia termasuk Melayu, Cina, India, Orang Asli serta etnik dari Sabah dan Sarawak.
Penggunaan alat muzik tradisional dan bunyi gendang daripada pelbagai kaum turut diketengahkan sebagai simbol keharmonian dan kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.
Menariknya, penghasilan Kita Warga Malaysia mengambil masa hampir dua tahun, merangkumi keseluruhan proses penciptaan, penggambaran dan penerbitan sebelum akhirnya dipersembahkan kepada khalayak.
Projek berkenaan turut mendapat sokongan profesional industri filem menerusi LOMO Pictures dengan penglibatan Aron Koh, selain sokongan pengarah filem tempatan, Ryon Lee Eng Keong.
Sebagai nadi utama karya tersebut, lima prinsip Rukun Negara diketengahkan, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.
The post Lagu Kita Warga Malaysia semarak semangat perpaduan appeared first on Utusan Malaysia.






