
KUALA TERENGGANU – Ulek Mayang bukan sekadar tarian tradisional yang sinonim dengan negeri Terengganu, malah ia turut diselubungi pelbagai kisah misteri yang masih menjadi perbualan masyarakat sehingga hari ini. Walaupun kini ia dipersembahkan sebagai warisan budaya dan seni, cerita-cerita lama yang dikaitkan dengan asal-usul lagu serta tariannya terus menimbulkan rasa ingin tahu dalam kalangan orang ramai.
Persembahan tarian tradisional Ulek Mayang yang diadakan di kawasan pantai baru-baru ini kembali mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen selepas satu perkongsian di Threads menjadi tular.
Menerusi hantaran oleh pengguna Threads, @elhaurafathiaaa, beliau mendakwa suasana persembahan tersebut terasa berbeza kerana ia dipersembahkan di lokasi yang sinonim dengan asal-usul tarian berkenaan iaitu di tepi pantai.
Menurutnya, walaupun persembahan itu kini hanya dianggap sebagai persembahan budaya dan warisan negeri, ramai masih mengaitkan Ulek Mayang dengan kisah-kisah lama yang sering diceritakan turun-temurun dalam masyarakat Terengganu.
“Bayangkan buat di tempat lain pun boleh menyeru secara tak langsung, inikan lagi di tempat asalnya di tepi pantai,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Beliau turut mendakwa kawasan persembahan dikawal dan diawasi oleh beberapa individu yang digelar sebagai ustaz bagi memastikan acara berjalan dengan lancar.
Kisah Tujuh Puteri Jadi Perhatian Netizen
Dalam perkongsian sama, pemilik hantaran itu turut berkongsi cerita yang sering dikaitkan dengan lagu Ulek Mayang, termasuk dakwaan mengenai tujuh puteri yang disebut dalam cerita rakyat tersebut.
Beliau mendakwa lirik asal lagu berkenaan pernah menyebut nama setiap puteri mengikut giliran, namun telah diubah suai dari semasa ke semasa kerana dikatakan mempunyai unsur-unsur tertentu yang tidak lagi sesuai dipersembahkan kepada umum.
Antara nama yang dikongsikan ialah Puteri Mayang Mengurai, Puteri Mayang Mawar, Puteri Mayang Pinang, Puteri Mayang Cempaka, Puteri Mayang Kenanga, Puteri Mayang Melur dan Puteri Mayang Sari.
Malah, beliau turut mendakwa terdapat versi lama yang mengaitkan watak-watak tersebut dengan makhluk alam ghaib yang hidup di lautan.
Bagaimanapun, beliau beberapa kali menegaskan bahawa masyarakat tidak seharusnya mempercayai dakwaan bahawa lagu tersebut mempunyai kuasa tertentu atau menjadi punca gangguan mistik.
“Ini semua hanya permainan syaitan sahaja,” jelasnya dalam ruangan komen.
Netizen Kongsi Pengalaman Dan Pandangan
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen turut berkongsi pandangan serta pengalaman masing-masing mengenai Ulek Mayang.
Ada yang mendakwa pernah mengalami gangguan selepas terlibat dalam persembahan tarian tersebut ketika zaman persekolahan, manakala sebahagian lagi berpendapat Ulek Mayang hanya sebuah warisan budaya yang perlu dilihat dari sudut sejarah dan seni.
Malah, seorang netizen turut mendakwa lirik asal Ulek Mayang mempunyai lebih banyak rangkap dan sebutan yang berbeza daripada versi yang dikenali hari ini. Dakwanya, sebahagian lirik tersebut telah diubah suai sebelum dipersembahkan kepada khalayak ramai.
Dalam masa sama, terdapat juga netizen yang memuji penganjur kerana memastikan para penari berpakaian sopan dan menutup aurat sepanjang persembahan berlangsung.
Perkongsian tersebut akhirnya membuka semula perbincangan mengenai Ulek Mayang yang sehingga hari ini masih menjadi antara warisan budaya paling terkenal dari Terengganu, selain sering dikaitkan dengan pelbagai cerita rakyat dan misteri yang terus diperkatakan dari generasi ke generasi. – The Malaysian Update
Sokong TMU
Jika anda menghargai usaha TMU dalam menyampaikan berita, maklumat dan isu semasa yang bermanfaat, anda boleh memberi sokongan secara sukarela.
Sokongan anda membantu kami terus menghasilkan laporan, artikel dan kandungan berkualiti untuk rakyat Malaysia.
The post “Lagu Ni Memang Ada Cerita…” – Perbincangan Tentang Ulek Mayang Kembali Hangat, Netizen Kongsi Pelbagai Pengalaman appeared first on The Malaysian Update.


