
SEJAK kebelakangan ini ada rakan bertanyakan mengapa penulis semakin kurang mencatat berita politik dan beralih kepada isu pertahanan negara.
Penulis hanya menjawab bahawa sebenarnya bukan penulis mengurangkan liputan politik, sebaliknya bidang nukilan penulis pada awalnya lebih tertumpu kepada berita pertahanan sebelum beransur-ansur beralih kepada politik dan kini kembali memberi perhatian kepada isu pertahanan.
Pada 2000, ketika Pulau Sipadan diceroboh oleh kumpulan bersenjata sehingga menyebabkan 21 orang tebusan diculik, penulis telah diminta oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu iaitu Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin (yang kemudiannya dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar) supaya penulis menghubungi Yusof Hamdan, yang terlibat dalam rundingan utama, serta Allahyarham James Hassan, seorang rakan Malaysia di Filipina bagi menjalankan rundingan sulit dan usaha menyelamatkan tebusan.
Sepanjang proses menyelamatkan tebusan itu, dengan bantuan Datuk Sairin Karno dan Datuk Seri Yong Teck Lee, kesemua sembilan rakyat Malaysia yang diculik akhirnya dibebaskan secara berperingkat dan berjaya dibawa pulang ke tanah air dengan selamat.
Sejak itu, penulis menetap dalam tempoh yang panjang di Zamboanga, Filipina bagi membuat liputan mengenai perkembangan ketenteraan negara itu, selain memantau kegiatan kumpulan militan Abu Sayyaf serta kemungkinan berlakunya pencerobohan semula ke Sabah.
Pada masa sama, penulis turut memerhatikan kehadiran anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang berada di Filipina atas kapasiti sebagai penasihat ketenteraan kepada tentera Filipina, selain kuasa besar itu dikatakan melatih sekumpulan anggota yang dikenali sebagai ‘Legion Sulu’. Ketika itu 2008, kira-kira lima tahun sebelum berlakunya pencerobohan Lahad Datu pada 2013.
Selain itu, ketika Aziz memegang jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar, beliau giat memajukan Pulau Banggi di utara Sabah melalui pelaksanaan program pembangunan ekonomi pertanian berimpak tinggi (Agropolitan). Program itu bertujuan membawa penduduk tempatan yang hidup dalam kemiskinan tegar menyertai arus pembangunan negara agar mereka turut menikmati manfaatnya. Ketika itu, terdapat penduduk yang belum pernah melihat wang bernilai RM100 sekalipun.
Aziz pernah mengingatkan penulis bahawa suatu hari nanti, ada kuasa besar mungkin akan mula memberikan perhatian khusus kepada Pulau Banggi.
Kemudiannya, pada 2013, berlakulah pencerobohan kumpulan bersenjata Sulu di Sabah. Dalam operasi tersebut, beberapa pegawai Pasukan Gerakan Khas 69 (VAT 69) negara terkorban, manakala puluhan penduduk tempatan turut dibunuh.
Tidak lama kemudian, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terdiri daripada tiga cabang iaitu Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara melancarkan serangan bersama sehingga mengorbankan ramai anggota kumpulan penceroboh. Namun, malangnya, pemimpin kumpulan bersenjata berkenaan berjaya melarikan diri.
Ketika itu, media Filipina pernah melaporkan bahawa pencerobohan berkenaan didakwa dilakukan dengan bantuan Amerika Syarikat serta mendapat restu seorang senator Filipina. Malangnya tiada bukti kukuh kepada kenyataan khabar Filipina itu.
Pencerobohan itu bukan sahaja melibatkan kawasan Lahad Datu , malah turut merebak ke Kampung Simunul di daerah Semporna. Ketika pihak polis memasuki kawasan berkenaan untuk menjalankan operasi penangkapan, anggota polis telah diserang hendap oleh kumpulan bersenjata sehingga mengakibatkan kematian. Lebih kejam lagi, kumpulan penceroboh itu dilaporkan mengorek mata dan memenggal kepala mangsa yang terkorban bagi menakut-nakutkan anggota keselamatan negara.
Ketika itu, Pengarah Cawangan Khas yang kemudiannya dilantik sebagai Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bertegas supaya mayat mangsa dibawa pulang ke tanah air.
Sehingga hari ini, penulis masih berasa kesal kerana tidak bertegas mempertahankan laporan dan cadangan penulis pada ketika itu. Sekiranya amaran berkenaan dapat diketengahkan dengan lebih tegas, mungkin jumlah korban dan kehilangan nyawa dalam insiden tersebut dapat dikurangkan.
Kini, latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat dan Filipina yang dikenali sebagai “Balikatan”, khususnya penempatan sistem pelancar roket berganda mudah gerak HIMARS di Pulau Balabac, kawasan paling selatan Filipina, sekali lagi mencetuskan kebimbangan keselamatan China serta negara-negara Asia Tenggara di sekitarnya, termasuk Malaysia.
Perkembangan ini turut mengingatkan penulis kembali kepada amaran yang pernah disuarakan lebih 20 tahun lalu oleh Aziz.
Pada masa ini, tentera AS merancang membina sebuah landasan kapal terbang sepanjang tiga kilometer di Pulau Balabac, Filipina, yang terletak kurang daripada 50 km dari Pulau Banggi di utara Sabah. Pembinaan kemudahan ketenteraan yang begitu hampir dengan perairan utara Sabah ini sememangnya menimbulkan persoalan mengenai penempatan strategik serta matlamat jangka panjang tentera Amerika Syarikat di rantau ini.
Walaupun pihak tentera AS dan Filipina menyatakan bahawa langkah tersebut bertujuan mengekang tindakan China di Laut China Selatan, umum mengetahui bahawa perkembangan ketenteraan berkenaan turut mempunyai kaitan dengan kawasan di luar pesisir pantai selatan Filipina, yang menjangkau ke perairan Sabah serta laluan berhampiran Brunei dan Miri, Sarawak, yang mempunyai sumber minyak dan gas. Perkembangan ini sememangnya wajar diberikan perhatian serius oleh Malaysia.
LANGKAH PROAKTIF
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut menyatakan negara tidak boleh terus berada dalam keadaan pasif, sebaliknya perlu mengambil langkah proaktif untuk memodenkan aset dan persenjataan pertahanan demi memperkukuh keupayaan pertahanan negara.
Selain itu, penulis tidak mahu tragedi seperti konflik bersenjata Lahad Datu pada 2013 berulang kembali.
Oleh itu, penulis mengambil keputusan untuk terus mengikuti perkembangan secara lebih dekat dan terperinci, khususnya perkembangan yang melibatkan Kementerian Pertahanan dan situasi semasa di Pulau Banggi.
Hanya tunggu dan lihat.
PENULIS ialah penganalisis isu semasa.
The post Lahad Datu jadi amaran keselamatan Pulau Banggi appeared first on Utusan Malaysia.
