MELAKA - Dipenjarakan ketika kandungan berusia tiga bulan sebelum melahirkan anak ketujuh di dalam penjara menjadi pengalaman pahit yang tidak mungkin dilupakan seorang bekas pengedar dadah yang dikenali sebagai Nor.
Nor, 32, dari Jempol, Negeri Sembilan berkata, ini kali kedua dia ditahan atas kesalahan mengedar dadah, selepas pertama kali ditahan pada November 2023 sebelum sekali lagi ditahan tahun lalu dan dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun atas kesalahan sama.
Menurutnya, pengalaman tersebut memberi kesan mendalam kepadanya dan menjadi antara sebab dia nekad untuk berubah.
“Alhamdulillah, sekarang saya dapat pelepasan PBSL (Pelepasan Banduan Secara Berlesen) dan saya bersyukur sangat sebab dapat membesarkan anak saya di luar, bukan di dalam penjara.
“Terima kasih kepada ALLAH SWT sebab beri saya peluang lagi untuk terus ubah kehidupan saya bersama bayi saya di luar dan membesarkannya,” katanya ketika ditemui pada Majlis PBSL Madani Yakin sempena Kemerdekaan Negara ke-69 di Penjara Sungai Udang di sini pada Rabu.
Nor berkata, dia terjebak dalam kegiatan pengedaran dadah kerana tertarik dengan pendapatan lumayan selain dipengaruhi bekas suaminya yang mengambil dadah.
“Saya terjebak sebab senang dapat duit. Saya jual melalui telefon. Setiap kali jual, bayarannya banyak juga, kira lumayanlah. Boleh cecah ribuan ringgit.
“Saya sudah lama terlibat edar dadah. Sebelum ini pernah ada hasrat untuk berubah, namun belum kesampaian,” katanya berkongsi cerita sambil memangku bayi lelakinya berusia 3 bulan.
Nor berkata, pengalaman melahirkan anak di dalam penjara membuatkan Nor nekad untuk tidak kembali ke penjara dan mahu bayi itu membesar seperti kanak-kanak lain.
“Ini satu pengalaman yang besar dan pahit bagi saya. Harap ini yang pertama dan terakhir. Tak nak dah melahirkan anak dalam penjara.
“Saya minta kepada ALLAH SWT supaya kuatkan hati saya untuk terus berubah. Saya dah tak nak masuk penjara, saya dah serik.
“Kasihan anak saya kalau membesar di dalam penjara. Saya nak dia membesar macam anak orang lain di luar, macam adik-beradik dia yang lain.
“Saya nak satukan dia dengan adik-beradik dia yang lain, tak nak di dalam (penjara) lagi,” katanya.
