Laksana program amnesti pemutihan pekerja asing tanpa izin – Mohd. Sharkar

LocalPolitics
2 Sep 2026 • 5:44 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Laksana program amnesti pemutihan pekerja asing tanpa izin – Mohd. Sharkar

KUANTAN: Kerajaan dicadang menawarkan program amnesti atau pengampunan berstruktur terhadap pekerja asing yang berada di negara ini tanpa dokumen sah, sekali gus menyerap mereka secara rasmi ke dalam pelbagai sektor ekonomi.

Pengerusi Sekretariat Ekonomi Gig dan Kesatuan Sekerja UMNO Malaysia, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, langkah memperlihatkan keberanian dasar itu disifatkan jauh lebih pragmatik berbanding kebergantungan berterusan terhadap pengambilan tenaga kerja baharu dari luar.

Menurutnya, usaha pemutihan berkenaan secara tidak langsung mampu menyekat isu lambakan pekerja asing di negara ini daripada terus meruncing, di samping mengawal kemasukan gelombang baharu yang berisiko menjejaskan kestabilan pasaran buruh tempatan.

​”Membawa masuk pekerja asing baharu bukan sahaja memakan masa, malah tidak menjamin mereka mempunyai kemahiran atau pengalaman kerja yang diinginkan oleh majikan.

​”Sebaliknya, mereka yang berada di sini sudah terbiasa dengan budaya kerja tempatan dan sedia berkhidmat dalam pelbagai sektor penting,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, melalui pendekatan berhemah tersebut, status pekerja asing yang sebelum ini bekerja secara haram dapat ‘dihalalkan’ di bawah kerangka undang-undang yang ketat dan terkawal.

​Pada masa sama, katanya, pelaksanaan dasar itu berupaya mengelakkan persaingan tidak sihat dan menampung keperluan mendesak di sektor-sektor utama seperti pembinaan, perladangan, perkilangan, dan perkhidmatan.

“Pemutihan itu juga berupaya menghentikan aktiviti pasaran gelap tenaga kerja yang selama ini mengeksploitasi kedudukan pekerja tanpa izin demi keuntungan pihak tertentu.

“​Langkah ini bakal menjadi sumber pendapatan baharu yang signifikan kepada kerajaan menerusi kutipan levi, bayaran pas lawatan kerja sementara (PLKS) dan denda pendaftaran di bawah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” katanya.

​Beliau berpandangan, jika kerajaan tetap berhasrat membawa masuk pekerja asing baharu dari luar, tindakan mengimbangi jumlah berkenaan perlu dilaksanakan secara ketat demi menjaga ketenteraman dan kestabilan ekonomi.

“Dalam hal ini, kerajaan dikehendaki menghantar pulang pekerja asing tidak sah yang sedia ada di dalam negara dengan nisbah dan jumlah yang setara mengikut bilangan pekerja baharu yang ingin dibawa masuk, bagi memastikan tiada pertambahan mendadak jumlah warga asing di pasaran tempatan.

​”Sudah tiba masanya kita mengambil langkah penyelesaian yang realistik, selamat dan memberi pulangan ekonomi jangka panjang kepada negara,” katanya.

Media hari ini melaporkan bahawa, kira-kira 200,000 pekerja dari Bangladesh dijangka diambil negara ini dalam tempoh enam bulan akan datang membabitkan pelbagai sektor dan agensi.

Menurut laporan portal berita dari Bangladesh, The Daily Star yang memetik kenyataan Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi Bangladesh, Mir Shahe Alam, pengambilan secara berperingkat itu akan bermula hujung bulan ini. – UTUSAN

The post Laksana program amnesti pemutihan pekerja asing tanpa izin – Mohd. Sharkar appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved