Lalamove, ICMS jalin kerjasama tawar kursus kemahiran percuma kepada rakan pemandu
zulfadli
06/11/2023 - 18:17
KUALA LUMPUR 6 Nov - Lalamove, sebuah platform penghantaran, menjalin kerjasama dengan International College of Sports and Management (ICMS) bagi meningkatkan kemahiran rakan pemandu mereka dengan menawarkan kursus akademik percuma.
Pengarah Urusan Lalamove Malaysia, Jane Teh berkata, pihaknya berdedikasi untuk memperkasakan rakan pemandu dengan menawarkan faedah kemahiran, yang selaras dengan misi kerajaan untuk meningkatkan kemahiran pekerja gig.
"Dalam dunia moden yang berpandukan teknologi, kami percaya bahawa peluang meningkatkan kemahiran yang kami tawarkan kepada rakan pemandu kami boleh menjadi tunjang mobiliti sosial, membuka peluang kepada lebih banyak peluang pekerjaan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Pengarah Urusan ICMS, Datuk Swaminathan S Mahalingam berkata, kerjasama strategik itu dapat membina ekosistem yang bermanfaat kepada pelajar ICMS.
"Kami berharap para pelajar kami akan menimba ilmu dan skil yang diperlukan semasa bekerja sambil meneruskan pelajaran. Ini dapat meningkatkan peluang pekerjaan mereka setelah mereka tamat belajar," katanya.
Sementara itu, menerusi program itu, tenaga pengajar ICMS yang berbakat dan professional bakal menawarkan ilmu merangkumi pelbagai skil, termasuk kursus khidmat pelanggan, pemasaran digital, teknologi asas dan banyak lagi.
Setiap kursus terhad kepada 50 rakan pemandu Lalamove berumur antara 18 hingga 40 tahun dengan tahap pendidikan PMR/PT3 atau SPM ke bawah.

Kursus pertama yang ditawarkan ICMS akan memberi tumpuan meningkatkan skil khidmat pelanggan. Kursus yang akan berlangsung selama lima hari itu akan diadakan di ICMS di Petaling Jaya.
Selain daripada menambah skil kemahiran rakan pemandu, Lalamove juga menawarkan peluang kepada pelajar ICMS untuk menjana pendapatan tambahan sebagai rakan pemandu di bawah sebuah inisiatif yang dinamakan 'Ber-Lala Bersama ICMS'.
Para pelajar jurusan Diploma Pentadbiran Perniagaan boleh mendaftar sebagai rakan pemandu Lalamove dan menerima sebuah motosikal Modenas Kriss percuma.
Semua peserta akan menerima sijil profesional pada hujung kursus, sebuah bonus yang pasti akan memberi manfaat kepada rakan pemandu Lalamove.
Lalamove menjemput individu yang berminat untuk meningkatkan kemahiran sambil menjana pendapatan sampingan bersama Lalamove dan ICMS untuk menyertai inisiatif penuh bermanfaat itu. - DagangNews.com



