
RANAU: Satu lagi laluan alternatif dibuka kepada kenderaan ringan bermula malam tadi selain laluan alternatif sedia ada di Kg Sinarut Baru - Kg Tagudon Baru yang dibuka sebelum ini.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Hj Arman Abdul Muin, berkata laluan alternatif baharu itu akan melalui jambatan Sungai Takurik sebelum memasuki kawasan Gereja SIB Pekan.
Beliau berkata, kerja-kerja pembersihan dan menabur batu di laluan itu kini giat dijalankan oleh syarikat konsesi selepas rundingan antara Pejabat Daerah Ranau dan pihak pengurusan gereja memandangkan pemilik tanah mencapai persetujuan bersama.
“Jalan ini menjadi laluan alternatif sehala dari Pantai Timur contohnya dari Sandakan. Laluan itu dijangka dibuka pada jam 7 malam ini (5 Januari 2023).
“Manakala laluan alternatif Kg Sinarut Baru – Kg Tagudon Baru, hanya akan digunakan kenderaan dari arah Kota Kinabalu sahaja,” katanya kepada media ketika ditemui ketika melawat lokasi kejadian, pada Khamis.
Arman turut menjelaskan bagi kenderaan berat seperti lori muatan berat seperti treler, lori tangki dan bas ekspres, JKR telah menetapkan Jalan Marak-Parak, Kota Marudu sebagai laluan alternatif.
“Kenderaan berat tidak dibenarkan menggunakan laluan alternatif Sinarut Baru – Tagudon Baru dan laluan Gereja SIB Pekan,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Amran memaklumkan kerja-kerja membina lencongan sementara sebagai laluan utama berhampiran simpang berkenaan akan dimulakan secepat mungkin.
“Pembinaan lencongan menggunakan ‘box culverts’ akan disegerakan oleh syarikat konsesi bagi membolehkan kerja-kerja di laluan utama yang runtuh dan terputus dapat dijalankan.
“Bagi mengatasi kejadian tanah runtuh berulang yang mengakibatkan jalan rosak, jambatan kekal akan dibina bagi menggantikan jambatan konkrit sebelum ini yang musnah akibat banjir.
“Bagaimanapun, beberapa perkara teknikal termasuk prosedur perlu dipatuhi sebelum sebarang tindakan susulan atau kerja pembinaan dimulakan,” jelasnya.
Tambah Arman, keutamaan pada masa ini adalah untuk membina lencongan. Dan kerja pembinaan dijangka mengambil masa 14 hari. Bagaimanapun, katanya, tempoh tersebut bergantung kepada keadaan cuaca semasa.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
