
KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Komuniti pendaki kini mempunyai laluan alternatif ke Kem 1 Gunung Everest menerusi pengenalan laluan Sundare Sherpa-Marc Batard, yang dijangka menawarkan pendakian lebih singkat dan berpotensi lebih selamat dengan mengelakkan Khumbu Icefall yang berbahaya.
Pengerusi Himalaya Expeditions Bikram Pandey berkata laluan yang dicadangkan itu berpotensi mengurangkan tempoh perjalanan untuk sampai ke Kem 1 berbanding laluan sedia ada melalui Khumbu Icefall.
“Laluan ini sekurang-kurangnya 10 hingga 14 hari lebih singkat berbanding laluan Khumbu Icefall sedia ada kerana pendakian secara tradisional melalui Khumbu Icefall memerlukan langkah berjaga-jaga tambahan serta pergerakan lebih perlahan bagi meminimumkan risiko.
“Laluan ini kini kira-kira 70 peratus siap, dengan ekspedisi pertama untuk menilai tahap keselamatannya dijangka dijalankan tahun depan selepas kerja-kerja pemasangan selesai,” katanya pada sesi perkongsian bersama Kelab Pendaki Everest Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata pendaki gunung juga boleh menggunakan puncak berdekatan seperti Nuptse sebagai pilihan untuk melakukan aklimatisasi sebelum pendakian ke puncak Gunung Everest.

Sementara itu, pendaki pertama Malaysia yang menawan puncak Gunung Everest Datuk M Magendran berkata Malaysia dipilih sebagai satu daripada lokasi persinggahan untuk memperkenalkan laluan yang dicadangkan itu kerana negara ini mempunyai jumlah pendaki Gunung Everest tertinggi di Asia Tenggara, dengan 30 rakyat Malaysia berjaya sampai ke puncak setakat ini.
Beliau berkata Malaysia juga mempunyai hubungan rapat dengan industri pelancongan Nepal manakala ramai rakyat Malaysia berkunjung ke negara itu setiap tahun untuk menyertai ekspedisi pendakian.
Magendran berkata pengenalan laluan baharu itu boleh menggalakkan lebih ramai pendaki gunung Malaysia menyertai ekspedisi ke Gunung Everest dengan menyediakan laluan alternatif ke Kem 1.
“Kami percaya dengan pembukaan laluan baharu ke Kem 1, lebih ramai pendaki Malaysia berpeluang menawan puncak Gunung Everest pada masa hadapan.
“Sesi perkongsian bersama Kelab Pendaki Everest Malaysia ini diadakan bersempena tiga dekad Legasi Everest Malaysia,” katanya.
Beliau berkata walaupun Gunung Everest antara yang tertinggi dalam kalangan 14 puncak dunia yang berketinggian lebih 8,000 meter, ia tidak semestinya gunung yang paling mencabar untuk didaki kerana beberapa puncak lain turut menawarkan cabaran teknikal dan fizikal yang lebih besar.
“Everest adalah yang tertinggi tetapi ia tidak semestinya yang paling mencabar. Terdapat gunung lain yang lebih mencabar berbanding Gunung Everest,” katanya.
Magendran ketika mengulas mengenai laluan yang dicadangkan itu berkata beliau tidak pasti bila ia akan dibuka secara rasmi, namun percaya laluan berkenaan boleh menyediakan alternatif yang lebih selamat kepada pendaki yang menuju ke Kem 1.
Beliau berkata penilaian keselamatan lanjut perlu dijalankan sebelum laluan itu boleh beroperasi sepenuhnya untuk ekspedisi.
Laluan yang dicadangkan itu bermula dari kawasan Kem Induk Everest menuju ke Nuptse Ridge, sekali gus menyediakan laluan alternatif ke Kem 1 tanpa perlu merentasi Khumbu Icefall yang panjangnya kira-kira empat kilometer.
Laluan itu telah diterokai, dikaji dan dilengkapi secara berperingkat sejak 2021 oleh pendaki Perancis dan Nepal, termasuk pendaki pergunungan Alp terkenal Perancis Marc Batard, Speed Kaji Sherpa dan Passang Nuru Sherpa.
Berdasarkan pelan projek, laluan baharu itu dijangka dilengkapi kira-kira 200 anak tangga logam dan tali kekal sepanjang 300 meter, tertakluk kepada penyempurnaan kerja-kerja berkenaan serta kelulusan yang diperlukan untuk penggunaannya.

