Laluan Dinaiki Air, 30 Kru Produksi Filem Terperangkap Di Gua Tempurung

26 Oct 2022 • 7:10 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Produksi filem Hong Kong itu sedang menjalani penggambaran apabila gua tersebut dilanda hujan lebat. - Gambar oleh Calvin Teo/Wikipedia Commons

KUALA LUMPUR - Kira-kira 30 individu, dipercayai kru sebuah produksi filem terperangkap dalam Gua Tempurung di Gopeng, Perak hari ini susulan hujan lebat yang membanjiri laluan keluar masuk.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, produksi filem Hong Kong itu sedang menjalani penggambaran apabila kawasan tersebut dilanda hujan lebat sejak 3 petang tadi.

Menurut beliau, polis menerima laporan berhubung insiden tersebut pada jam 4 petang tadi.

“Operasi menyelamat sudah digerakkan dan kesemua mangsa yang terperangkap akan dibawa keluar menggunakan laluan belakang gua,” katanya hari ini.

Gua Tempurung, antara tarikan pelancong di Perak sering dijadikan lokasi bagi aktiviti rekreasi, termasuk dalam kalangan pencinta sukan lasak yang menggemari aktiviti meneroka gua (cave exploring).

Ia adalah gua batu kapur yang terpanjang dan terbesar di Semenanjung Malaysia. - Getaran, 26 Oktober 2022