
KUANTAN – Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dicadang diperluaskan merentasi Pahang dalam usaha memberikan kemudahan pengangkutan kepada rakyat negeri ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, laluan ECRL yang kini melibatkan Bentong, Temerloh dan Kuantan akan diperluaskan ke Pekan dan Rompin yang terletak bersempadan Johor.
“Itu perancangan. Kita telah memohon dan memaklumkan PlanMalaysia untuk masa depan dalam perancangan struktur negeri Pahang.
“Saya tidak mahu apabila minta kita baru bagi cadangan. Sekarang mereka tidak minta lagi, kita sudah kemukakan rancangan masukkkan dalam pelan,” katanya pada sidang akhbar pada Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia di sini hari ini.
Menurut Wan Rosdy, pihaknya berhasrat laluan ECRL yang dapat merentasi Pahang akan memberikan impak kepada kemajuan ekonomi dan sosial.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga akan memohon laluan ECRL sedia ada dapat dibina laluan kedua sekurang-kurangnya dari Kuantan ke Gombak seperti rancangan asal.
“Ini semua boleh dilakukan jika ada kekuatan politik dan Pahang boleh sebab mempunyai kestabilan politik dan tadbir urus yang baik,” katanya.
Rangkaian ECRL sepanjang 665 kilometer merentas negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Selangor di pantai barat Semenanjung Malaysia.
Tiket perkhidmatan ECRL akan mula dijual secara dalam talian pada pertengahan November ini dan operasi disasarkan bermula 12 Disember tertakluk kepada kelulusan berkaitan. – KOSMO! ONLINE
The post Laluan ECRL rentasi Pahang dari Kuantan, Pekan, Rompin – Wan Rosdy appeared first on Kosmo Online.





