Laluan LRT 3 Kini Akan Memulakan Operasi Sebelum Jun 2026

23 Feb 2026 • 4:04 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari mengatakan Perkhidmatan LRT 3 atau nama rasminya LRT laluan Shah Alam akan memulakan beroperasi sebelum Jun 2026 selepas ia tersasar sekali lagi daripada tarikh 31 Disember yang diumumkan November lalu. Menurut Loke, semua proses ujian, pentauliahan serta penyelesaian isu teknikal bakal disiapkan dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang.

Setakat ini dua kumpulan tren melibatkan 14 daripada 22 tren telah selesai menjalani ujian larian tanpa gagal (Fault Free Run) manakala satu lagi kumpulan merangkumi lapan tren masih dalam proses menjalani ujian berkenaan selama 22 hari. Ujian ini memerlukan setiap tren bergerak sekurang-kurangnya 4,000 km tanpa sebarang ralat.

image is not available

LRT laluan Shah Alam ialah perkhidmatan rel transit keempat di Lembah Kelang dengan ia akan dikendalikan oleh Rapid KL. Laluan akan mempunyai 25 stesen yang buat pertama kalinya terletak di luar sempadan Bandaraya Kuala Lumpur. Ia menghubungkan stesen Bandar Utama di Petaling dengan stesen Johan Setia di Klang.

Pembinaan laluan ini menelan belanja RM21.93 billion yang adalah lebih rendah berbanding kos anggaran asal RM31.65 billion semasa diluluskan pada tahun 2015. Apabila beroperasi kelak ia mampu membawa sehingga 39,260 penumpang setiap jam.