Laluan Masuk Plaza Tol Ayer Hitam Ditutup Susulan Tumpahan Bahan Kimia

LocalEnvironment
25 Jun 2025 • 11:20 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Laluan Masuk Plaza Tol Ayer Hitam Ditutup Susulan Tumpahan Bahan Kimia

JOHOR BAHRU, 25 Jun (Bernama) — Laluan masuk ke Plaza Tol Ayer Hitam ditutup kepada semua kenderaan susulan kejadian tong mengandungi bahan kimia berbahaya dan mudah hakis terjatuh dari sebuah treler petang tadi.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan laluan itu ditutup sementara atas faktor keselamatan oleh pihak bomba selepas kejadian dilaporkan berlaku pada 6.41 petang.

“Status terkini setakat 9.28 malam, laluan masuk ke Plaza Tol Ayer Hitam (masih) ditutup sementara,” menurut hantaran itu.

Justeru, PLUS menasihati orang ramai supaya merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini melalui laman X plustrafik atau Facebook PLUS Malaysia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi Bernama berkata setakat 10.30 malam laluan keluar masuk Kluang-Plaza Tol Ayer Hitam-Kluang masih ditutup, manakala laluan Plaza Tol Ayer Hitam-Pekan Ayer Hitam-Plaza Tol Ayer Hitam telah dibuka sepenuhnya.

Beliau berkata bahan kimia yang terjatuh dikenal pasti sebagai Chemical Urea Formaldehyde Concentrate.

Sumber: Bernama