Laluan Rawang Bypass ke Serendah ditutup untuk kerja pembaikan expansion joint

Local
25 May 2026 • 10:49 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Laluan Rawang Bypass ke Serendah ditutup untuk kerja pembaikan expansion joint

SHAH ALAM, 25 MEI: Laluan Rawang Bypass menghala ke Serendah ditutup sementara hari ini sehingga jam 2.30 petang bagi membolehkan kerja pembaikan dijalankan di lokasi kerosakan expansion joint (EJ).

Penutupan itu dibuat susulan aduan pengguna jalan raya serta video tular pada 22 Mei lalu berhubung keadaan komponen tersebut di FT37 Rawang Bypass.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) segera menjalankan pemeriksaan di lokasi sebaik menerima laporan mengenai kerosakan berkenaan.

Menurutnya, satu lorong turut ditutup sementara manakala kawalan trafik dilaksanakan sepanjang kerja pemeriksaan serta pembaikan dijalankan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Image from: Laluan Rawang Bypass ke Serendah ditutup untuk kerja pembaikan expansion joint
Penutupan sementara dilakukan bagi membolehkan kerja pembaikan komponen expansion joint dijalankan JKR. Foto Facebook Chua Wei Kiat

“Hasil pemeriksaan awal mendapati isu yang berlaku adalah melibatkan komponen EJ.

“Pihak JKR juga akan mengganti komponen EJ tersebut bagi tujuan tindakan pembaikan lanjut dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menghargai tindakan pantas JKR dan semua agensi terlibat yang segera turun padang bagi menangani isu berkenaan.

“Saya menghargai tindakan pantas pihak JKR dan semua agensi terlibat yang terus turun padang bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Pengguna jalan raya yang ingin menuju ke Serendah disaran menggunakan laluan alternatif Jalan FT01 Kuala Lumpur-Tanjung Malim melalui pekan Rawang sepanjang tempoh penutupan sementara itu.

Orang ramai juga diminta bersabar selain merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan trafik di kawasan terlibat.

View Original Article