Landasan Kena Bom, Sebelas Gerabak Kereta Api Kargo Hat Yai-Padang Besar Terbabas

3 Dec 2022 • 10:21 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Landasan Kena Bom, Sebelas Gerabak Kereta Api Kargo Hat Yai-Padang Besar Terbabas

Landasan kereta api antara stesen Hat Yai dan Padang Besar di Songkhla dilaporkan telah dibom sehingga mengakibatkan sebelas gerabak kereta api kargo tergelincir, lapor Astro Awani.

Kejadian tersebut dilapor berlaku ketika kereta api kargo No.707 yang beroperasi antara Hat Yai dan Padang Besar menghampiri stesen kereta api Khlong Nhae di kampung Moo 2 di tambon Tha Phor, pada waktu tengah hari.

Kereta api tersebut tergelincir dari landasannya selepas dentuman kuat seperti letupan bom berlaku di landasan.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut, lapor Bangkok Post.

Sebelas daripada dua puluh gerabak kereta api dilaporkan telah terkeluar daripada landasan dan rosak teruk.

Empat kakitangan kereta api tersebut iaitu dua pemandu, seorang juruteknik dan seorang lagi kakitangan dilapor tidak mengalami sebarang kecederaan.

image is not available
Gambar: Bangkok Post

Memetik Astro Awani, kereta api berkenaan dilaporkan membawa muatan kepingan getah ke Thailand.

Ekoran daripada itu, hasil pemeriksaan oleh pegawai State Railway of Thailand dan pegawai dari agensi keselamatan mendapati ia tergelincir disebabkan oleh letupan bom, sehingga meninggalkan kesan kira-kira sedalam 2 meter.

Pihak berkuasa percaya bahawa bom buatan sendiri itu ditanam untuk menyasarkan kereta api tersebut.

Pakar pemusnah bom dan pegawai keselamatan telah membersihkan tempat kejadian serta mengumpul beberapa bukti.

Susulan kejadian itu, laluan Hat Yai-Padang Besar mungkin perlu ditutup selama beberapa hari untuk pembaikan.