Landasan Lumayan pemaju utama Ibu Pejabat LUAS, pemangkin projek Gerbang Maritim Selangor

LocalBusiness & Finance
18 Dec 2025 • 9:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Landasan Lumayan pemaju utama Ibu Pejabat LUAS, pemangkin projek Gerbang Maritim Selangor
image is not available
haziq18/12/2025 - 09:30 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Dis – Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLB) memainkan peranan strategik sebagai pemaju utama dalam pembangunan Ibu Pejabat Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di Kota Kemuning, yang dilihat sebagai pemangkin penting kepada pelaksanaan projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) serta pembangunan bersepadu di sepanjang Sungai Klang.

 

Dalam satu kenyataan, LLB berkata pembangunan ibu pejabat tersebut bukan sahaja memenuhi keperluan operasi LUAS, malah menyokong agenda pengurusan sumber air negeri, kelestarian alam sekitar dan pertumbuhan berimpak tinggi di bawah ekosistem projek SMG.

 

Menurut syarikat itu, Majlis Penyempurnaan Perjanjian Jual Beli Bangunan Ibu Pejabat LUAS merupakan pencapaian penting kerjasama sektor awam dan swasta dalam merealisasikan pembangunan riverfront yang berdaya tahan dan berorientasikan masa hadapan.

 

Pengarah LLB Syed Ali Shahul Hameed berkata pembangunan ini mencerminkan komitmen syarikat dalam menjayakan Projek Selangor Maritime Gateway secara menyeluruh.

 

“Sebagai pemaju projek, LLB berbesar hati untuk bekerjasama dengan LUAS dalam merealisasikan pembangunan Ibu Pejabat ini yang bukan sahaja memenuhi keperluan operasi organisasi, malah menyumbang kepada kejayaan Projek Gerbang Maritim Selangor,” katanya.

 

Beliau berkata, pembangunan tersebut turut mencerminkan pendekatan syarikat terhadap pembangunan berkonsepkan riverfront yang bertanggungjawab, mampan dan berimpak jangka panjang kepada negeri serta komuniti setempat.

 

Menurut LLB, lokasi strategik di Kota Kemuning yang berdekatan dengan Sungai Klang memberikan nilai tambah kepada projek SMG, termasuk akses langsung ke kawasan tadahan dan sistem sungai utama bagi tujuan pemantauan, pengurusan bersepadu serta penyampaian perkhidmatan berkaitan sumber air.

 

Katanya, kehadiran institusi utama seperti LUAS di kawasan projek turut meningkatkan keyakinan pelabur dan memperkukuh imej institusi di sepanjang koridor pembangunan SMG.

 

Sementara itu, Penanggung Tugas Pengarah LUAS Haslina Amer berkata pembangunan Ibu Pejabat LUAS merupakan satu pelaburan strategik bagi meningkatkan keupayaan organisasi sebagai pengawal selia dan pengurus sumber air negeri.

 

“Lokasinya yang berdekatan Sungai Klang serta konsep ‘Guardian of the River’ membolehkan LUAS memainkan peranan yang lebih berkesan dalam menyokong pelaksanaan Projek Gerbang Maritim Selangor secara bersepadu dan mampan,” katanya.

 

Majlis penyempurnaan dokumen Perjanjian Jual Beli Bangunan Ibu Pejabat LUAS telah disempurnakan oleh Datuk Ir Izham Hashim, Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor; Haslina Amer bagi pihak LUAS; serta Syed Ali Shahul Hameed dan Ketua Pegawai Eksekutif Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd, Datuk Abdul Rahim Mohd Zain.

 

LLB berkata, pembangunan Ibu Pejabat LUAS dalam ekosistem Projek SMG menegaskan peranan syarikat sebagai pemaju yang menitikberatkan perancangan menyeluruh, kelestarian dan nilai institusi dalam menjayakan agenda pembangunan negeri Selangor. - DagangNews.com

Terkini standard