Langgar SOP, Pegawai Penyiasat Kes Zara Qairina Bakal Berdepan Tindakan Tegas – JSJ

LocalPolitics
13 Aug 2025 • 5:34 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

image is not available

Tindakan tegas akan dikenakan terhadap pegawai penyiasat dan penyelianya susulan dapatan siasatan Task Force Bukit Aman yang mendapati terdapat ketidakpatuhan kepada prosedur siasatan membabitkan kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, pasukan Task Force yang memulakan siasatan pada 11 Ogos lalu mendapati pegawai penyiasat tidak membuat permohonan untuk proses bedah siasat.

“Sehubungan itu, tindakan tegas akan diambil kepada pegawai penyiasat dan penyelia kerana tiada penyeliaan.
“Walau bagaimanapun, saya juga perlu mendedahkan bahawa terdapat persetujuan atau permohonan daripada ibu mangsa memohon supaya bedah siasat tidak dibuat.
“Persetujuan ini direkodkan dengan tandatangan ibu mangsa, doktor, patalogi dan pegawai penyiasat dalam satu dokumen ‘Surat Akuan Enggan Bedah Siast Mayat Atas Kemahuan Sendiri’ yang dikeluarkan pihak hospital,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Langgar SOP Kes Zara Qairina

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan supaya inkues dijalankan berhubung kes kematian Zara Qairina selepas meneliti laporan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

AGC dalam kenyataan memaklumkan, inkues itu selaras dengan peruntukan di bawah Subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] bagi menentukan punca dan sebab kematian termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya.

“Proses ini akan dikendalikan di Mahkamah Koroner secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang,” kata AGC.

image is not available

Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama pada 4 pagi, 16 Julai lalu.

image is not available

Mangsa berusia 13 tahun itu disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu. Pada 8 Ogos lalu, AGC mengarahkan kubur Allahyarham digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.

Sumber: Harian Metro (Muhaamad Hafis Nawawi)