
KUALA LUMPUR — Seorang wanita meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial selepas didakwa dihalang memasuki Hospital Cyberjaya kerana memakai gaun tanpa lengan.
Dakwanyq, pengawal keselamatan hospital berkenaan memaklumkan bahawa pakaiannya tidak menepati kod etika berpakaian yang ditetapkan.
“Saya terkejut dengan penguatkuasaan ini kerana saya berpakaian secara sopan dan sesuai.
“Dua pengawal keselamatan wanita memberitahu ‘tangan anda terdedah’, yang dianggap sebagai satu kesalahan,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.
Jelas wanita itu, dia memahami setiap institusi memiliki garis panduan asas tentang kesopanan, namun tindakan hospital awam mengenakan peraturan ketat sebegitu amat mengecewakan.
“Hospital bukan tempat ibadah, dan akses kepada rawatan kesihatan tidak sepatutnya bergantung kepada standard pakaian yang sewenang-wenangnya.
“Dasar ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai keterangkuman, aksesibiliti dan bias jantina,” katanya lagi.
Wanita itu turut menjelaskan bahawa beliau tetap mendesak untuk melawat abangnya kerana menempuh perjalanan agak jauh iaitu dari Port Dickson, namun hanya dibenarkan masuk selama lima minit.
Katanya, satu aduan rasmi akan dikemukakan berhubung kejadian tersebut. - Getaran, 27 September 2025

