
KUALA LUMPUT - Dua kilang pemprosesan makanan yang menghasilkan kopi dan biskut di Melaka dikenakan penarikan balik Sijil Pengesahan Halal berkuat kuasa serta-merta selepas pemeriksaan mendapati wujud pelanggaran serius melibatkan peralatan tercemar.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman, berkata tindakan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) itu diambil susulan ketidakpatuhan ketara terhadap piawaian halal oleh kedua-dua syarikat berkenaan.
Menurut beliau, siasatan mendapati pengilang terbabit menggunakan berus diperbuat daripada bulu haiwan dalam proses pengeluaran, sekali gus menimbulkan isu pematuhan yang serius.
“Lebih membimbangkan, analisis oleh Pusat Analisis Halal Malaysia mengesahkan berus tersebut mempunyai ciri fizikal bulu babi.
“Ini jelas bercanggah dengan prinsip pensijilan halal,” katanya.
Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Molek berkata, pelanggaran itu diklasifikasikan sebagai ketidakpatuhan serius di bawah Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia 2020 kerana melibatkan penggunaan serta pengendalian peralatan yang tercemar dengan unsur tidak halal.
“Ini bukan isu kecil, ia melibatkan integriti pensijilan halal dan kepercayaan pengguna.
“Oleh kerana itu, sijil ditarik balik tanpa kompromi,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua syarikat turut diarahkan menghentikan penggunaan logo halal, menarik balik semua produk di pasaran serta melaksanakan proses penyucian mengikut hukum syarak sebelum sebarang permohonan semula dipertimbangkan.
Pihak berkuasa akan terus menjalankan pemantauan rapi bagi memastikan produk halal kekal bersih, selamat dan bebas daripada unsur terlarang sepanjang rantaian pengeluaran.
Dalam pada itu, peniaga diingatkan supaya lebih peka dan mematuhi sepenuhnya keperluan halal, khususnya dalam penyediaan serta pemprosesan makanan dan minuman.
Pengguna pula disaran menyemak status produk melalui Portal Halal Malaysia bagi mengelakkan sebarang keraguan. - Getaran, 3 April 2026

