Langkah Dubai: ‘Saya tidak tahu sejauh mana kebenarannya’

Politics
30 Dec 2023 • 5:25 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - “Tiada komen, saya pun tidak tahu sejauh mana kebenarannya”.

Itu tegas Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Syahredzan Johan ketika dihubungi Scoop mengenai Langkah Dubai yang didakwa didalangi pemimpin parti pembangkang termasuk wakil tertentu kerajaan, dengan matlamat menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ditanya sama ada beliau mempunyai maklumat mengenai perkara itu, Syahredzan yang juga Ahli Parlimen Bangi enggan mengulas mengenainya.

Media hari ini melaporkan pendedahan Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop mengenai Langkah Dubai terbabit.

Dakwanya, ia timbul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk dari pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

image is not available
Syahredzan Johan menegaskan, beliau tidak tahu menahu mengenai Langkah Dubai yang didakwa didalangi pemimpin parti pembangkang termasuk wakil tertentu kerajaan. - Gambar Facebook Syahredzan Johan, 30 Disember, 2023

Beliau mendakwa, pertemuan itu berlangsung untuk berunding selain menetapkan tugas tertentu kepada 'pegawai' yang dipertanggungjawab untuk mengenal pasti ahli Parlimen yang berpotensi beralih sokongan kepada pembangkang dengan sogokan, semata-mata mahu menubuhkan kerajaan 'tebuk atap',

Selain pemimpin PN, beliau mendakwa ada juga pembabitan tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang termasuk dikatakan menggunakan 'sumber asing' untuk menggulingkan pentadbiran diterajui Anwar.

image is not available

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang diajukan persoalan sama mengakui tidak tahu-menahu mengenai ‘perancangan’ atau pihak yang menggerakkan Langkah Dubai itu.

“Aku (saya) tak tahu-menahu. Maaf, tak dapat membantu (maklumat mengenai Langkah Dubai),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - 30 Disember, 2023