Langkah hapus persepsi pendakwaan berat sebelah - Azalina

LocalPolitics
6 Jul 2026 • 6:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Langkah hapus persepsi pendakwaan berat sebelah - Azalina
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR – Langkah untuk memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya dibuat antara lain bertujuan menghapuskan persepsi yang mengaitkan keputusan pendakwaan di negara ini boleh dipengaruhi unsur berat sebelah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia susulan isu berkenaan banyak dibangkitkan ahli Parlimen sebelum ini.

Malah katanya, usaha itu juga turut mendapat maklum balas positif majoriti ahli Parlimen termasuk di blok pembangkang.

“Ikhlas cakap bahawa pemisahan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya ini respon (diterima) daripada ahli Parlimen sangat positif.

“Sebagai ahli Parlimen mereka banyak mendengar cerita dan berhadapan dengan situasi yang mana pendakwaan dianggap sebagai berat sebelah.

“Jadi ini adalah salah satu reformasi institusi yang sangat-sangat ditunggu, digalakkan dan dilihat akan membawa lebih banyak kebaikan daripada keburukan,” katanya ketika temu bual khas bersama media Pusat Timbang Tara Antabangsa Asia (AIAC) di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, matlamat utama reformasi tersebut adalah untuk memisahkan dengan jelas fungsi Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang utama kerajaan daripada fungsi Pendakwa Raya yang bertanggungjawab membuat keputusan pendakwaan jenayah secara bebas dan profesional.

Pada akhirnya beliau berkata, tujuannya untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan negara.

“Rakyat perlu yakin bahawa setiap keputusan pendakwaan dibuat secara bebas, objektif dan tanpa sebarang pengaruh yang tidak wajar,” katanya.

Tambahnya, ketika ini masih terdapat pelbagai pihak termasuk Majlis Peguam yang membangkitkan isu berkaitan keputusan mendakwa atau menarik balik sesuatu kes sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap sistem pendakwaan.

Menurut beliau, reformasi itu bukan sahaja penting bagi memperkukuh tadbir urus negara, malah mampu meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sistem perundangan Malaysia.

"Apa yang kita lakukan ini adalah untuk masa depan negara. Ia akan memberi lebih banyak keyakinan, khususnya kepada pelabur terhadap sistem keadilan dan perundangan kita," katanya.

Sebelum ini, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 bagi memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 23 Februari lalu.

RUU berkenaan kemudiannya dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) selepas bacaan kali kedua pada 3 Mac bagi tujuan penelitian lanjut.

Antara syor penambahbaikan yang dikemukakan ialah pelantikan Pendakwa Raya dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) tanpa melibatkan Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.

Selain itu, Parlimen turut dicadangkan diberikan kuasa untuk menilai dan mengemukakan syor terhadap calon Pendakwa Raya yang dikemukakan SPKP, termasuk membahaskan, mengundi dan mengumumkan keputusan secara terbuka

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved