
KUALA LUMPUR - Langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjadikan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini sebagai laluan mesra pejalan kaki pada setiap Ahad mendapat pujian ramai.
Pembukaan kawasan tersebut hanya kepada pejalan kaki bermula jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam nanti menyaksikan ramai pengunjung tidak melepaskan peluang untuk membeli-belah sambil beriadah bersama seisi keluarga.

Lebih meriah, terdapat pelbagai aktiviti dijalankan di sepanjang laluan terbabit bagi memberikan suasana baharu, termasuk persembahan seni seperti 'busker', lukisan potret, hiasan inai serta kiosk dan ruang rehat.
Jurucakap DBKL menerusi hantaran di Facebook memberitahu, turut disediakan adalah ruang untuk kanak-kanak beriadah dan bermain dengan pengawasan petugas.
"Menjadi hasrat DBKL untuk menjadikan Jalan TAR sebagai satu destinasi keluarga yang wajar dikunjungi dengan lebih selesa, santai dan selamat.
"Ayuh, kita kunjungi Jalan TAR bersama keluarga. Lepak-lepak pun boleh," katanya.

Menerusi inisiatif tersebut, laluan dari persimpangan Jalan Esfahan hingga ke persimpangan Jalan Melayu ditutup kepada semua kenderaan.
Dalam ada itu, majoriti warganet memuji usaha DBKL terbabit sambil memberikan cadangan masing-masing kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
Pengguna, Jai Detomaso berkata, inisiatif DBKL itu adalah apa yang diperlukan oleh warga kota dan dia turut mencadangkan agar diadakan persembahan bertemakan Malaysia seperti seni silat dan gasing.
"Wujudkan juga ruang untuk mempromosi makanan dan warisan tempatan untuk menarik pelancong. Kami Keluarga Malaysia amat perlukan lebih banyak tempat beraktiviti santai seperti ini. Terima kasih," katanya.

Royyan Raihan pula mencadangkan agar DBKL memperbanyakkan pondok untuk pengunjung berteduh.

Dalam pada itu, seorang lagi pengguna, Gunaseelan Palanisamy berkata, adalah satu usaha terbaik oleh DBKL untuk memberi ruang kepada pejalan kaki dan keluarga warga kota bersiar-siar tanpa kenderaan, sejajar dengan hasrat mewujudkan bandar raya tanpa karbon (no carbon city).
"Dengan keputusan DBKL ini, warga Kota dapat bersiar-siar di persekitaran Jalan TAR tanpa sebarang gangguan, dalam keadaan aman dan tenang. DBKL harus mengadakan dan menambah pelbagai aktiviti hiburan dan muzik serta ruang untuk semua agar setiap golongan dapat menggunakan masa mereka dengan efektif.
"Anggota penguatkuasa harus ditambah untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. Tandas sementara dan tempat rehat sementara untuk kanak-kanak dan warga tua juga seharusnya disediakan, begitu juga tempat perlindungan semasa hujan. Semua ini seharusnya dipertimbang oleh DBKL. Semoga usaha DBKL ini akan terus mendapat sambutan daripada warga Kuala Lumpur," katanya. - Getaran, 28 Ogos 2022


