
SHAH ALAM, 8 NOV: Keadaan banjir di sekitar i-City dan Bukit Raja semakin baik susulan pelaksanaan langkah mitigasi, namun penduduk berharap usaha sama diperluas ke Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) yang masih kerap dinaiki air.
Anak jati Klang, Hairul Izham, 37, berkata keadaan di Lebuhraya Persekutuan kini lebih terkawal berbanding sebelum ini apabila pengguna jalan raya tidak lagi berdepan masalah terkandas dalam tempoh lama akibat banjir.
“Setakat ini selepas baru balik dari melalui Lebuhraya Persekutuan, keadaan sudah baik dan tidak seperti dahulu sehingga menyebabkan kenderaan terkandas di jalan raya. Cuma ada beberapa kawasan kecil seperti bahu jalan yang masih dinaiki air,” katanya kepada Media Selangor.
Bagaimanapun, Hairul berharap perhatian turut diberikan kepada NKVE selepas beliau sendiri pernah terkandas hampir enam jam akibat banjir ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Klang.

“Baru-baru ini saya terkandas hampir enam jam ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Klang akibat banjir di NKVE. Kawasan itu perlu ditambah baik dan pemantauan perlu dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Fiqrie Mohd Redzuan, 19, turut mengakui perubahan ketara apabila jalan yang sebelum ini sering dinaiki air kini masih boleh dilalui meskipun berlaku sedikit kenaikan paras air ketika hujan.
“Bagi saya, penambahbaikan yang saya nampak, ada juga perubahannya. Banjir tidak seperti sebelum ini, jadi ada penambahbaikan yang bagus.
"Jalan yang sebelum ini dinaiki air pun sekarang masih boleh dilalui walaupun air naik sedikit,” katanya.

Penduduk Bukit Raja, Amy Lee, 60, pula berkata kawasan kediamannya tidak lagi mengalami banjir walaupun ketika hujan lebat, namun beberapa lokasi sekitar i-City masih berisiko dinaiki air dan memerlukan penambahbaikan berterusan.
“Di kawasan Bukit Raja setakat ini tiada masalah banjir walaupun hujan lebat. Saya lihat masalah banjir lebih banyak berlaku di sekitar i-City. Saya rasa kerajaan perlu terus menambah baik keadaan untuk kebaikan semua di sini,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada pelaksanaan langkah mitigasi segera tanpa hanya bergantung kepada projek penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah banjir.
Beliau berkata pendekatan itu menunjukkan perkembangan positif apabila beberapa kawasan yang sebelum ini kerap dilanda banjir, termasuk Padang Jawa dan Taman Mutiara, Bukit Raja, kini berjaya menunjukkan perubahan selepas kerja mitigasi dilaksanakan.
Antara usaha terbaharu ialah pemasangan pam dan pintu air di hadapan i-City yang diluluskan minggu lalu bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.
Amirudin berkata langkah berkenaan diharap dapat memastikan kawasan yang sebelum ini kerap mengalami banjir menunjukkan perubahan positif hasil pelaksanaan tindakan mitigasi segera.




