Langkah perundangan sahaja tidak selesaikan isu struktur golongan belia terperangkap dalam hutang, kata Insap

25/07/2025 - 16:10
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 25 Julai - Langkah perundangan sahaja tidak akan dapat menyelesaikan isu struktur yang mendorong rakyat Malaysia terutamanya golongan belia dan pekerja tidak formal terperangkap dalam kitaran hutang, kata Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (Insap).
Pengerusinya, Datuk Dr Pamela Yong berkata, tanpa reformasi ekonomi yang lebih luas, undang-undang itu mungkin secara tidak sengaja mengehadkan akses kredit kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang bergelut dengan gaji statik, kos sara hidup yang tinggi dan penurunan penampan kewangan.
"Insap mengiktiraf kelulusan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna 2025 (RUUKP) oleh Dewan Rakyat sebagai satu kejayaan dalam usaha mengawal selia perniagaan dan perkhidmatan kredit pengguna Malaysia yang semakin berkembang termasuk segmen Beli Dulu, Bayar Kemudian (BNPL).
"Pengenalan RUU mewujudkan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) khusus untuk mengawasi penyedia kredit yang sebelum ini tidak dikawal selia dan memperkukuhkan perlindungan pengguna adalah satu langkah yang positif.
"Bagaimanapun, Insap memberi amaran, perundangan sahaja tidak akan menyelesaikan isu struktur yang mendorong rakyat Malaysia, terutamanya golongan belia dan pekerja tidak formal, terperangkap dalam kitaran hutang," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), sehingga Disember 2024, hutang isi rumah Malaysia berjumlah RM1.63 trilion mewakili 84.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang merupakan yang tertinggi di Asia Tenggara.
Ini menunjukkan pergantungan yang semakin meningkat pada kredit jangka pendek untuk menghadapi pendapatan yang tidak stabil dan perbelanjaan asas, terutamanya ketika ekonomi beralih daripada pekerjaan industri yang stabil kepada perkhidmatan yang lebih tidak menentu.
Pamela berkata, langkah fiskal baharu seperti rasionalisasi subsidi petrol dan pengembangan SST meningkatkan tekanan ke atas belanjawan isi rumah.
"Insap memberi amaran, meletakkan kos pematuhan baharu pada penyedia kredit secara tidak sengaja boleh menjadikan kredit lebih mahal atau tidak boleh diakses, terutamanya bagi kumpulan yang dimaksudkan untuk dilindungi oleh undang-undang ini, iaitu golongan belia, pekerja gig, dan isi rumah yang terpinggir secara kewangan.
"Kami juga menekankan kepentingan kejelasan institusi, kebebasan pengawalseliaan dan akauntabiliti untuk RUKKP bagi memastikan ketelusan dan kepercayaan awam ada, kerangka yang jelas perlu untuk mengatur pelantikan kepimpinan, skop kuasa dan penglibatan pemegang kepentingan," katanya.
Beliau berkata, sebarang reformasi ekosistem kredit mesti dipadankan dengan dasar struktur sebenar yang meningkatkan keselamatan pendapatan dan kualiti pekerjaan, mengawal kos barangan dan perkhidmatan penting, dan meluaskan akses kepada pendidikan literasi kewangan hak pengguna.
"RUKKP tidak boleh menjadi tampalan pengawalseliaan ke atas luka ekonomi yang lebih mendalam.
"Tanpa reformasi yang berani untuk menangani ketidaksamaan dan ketidakamanan ekonomi, rakyat Malaysia akan terus meminjam hanya untuk terus hidup, tidak kira seberapa baik sistem ini dikawal sistem," katanya. - DagangNews.com
featured standard


