Langkawi bukan Bali atau Phuket! Sultan Kedah titah pembangunan berteraskan identiti sendiri

LocalTravel
5 Jul 2026 • 2:23 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah baginda tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan tindakan atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mencemarkan imej serta reputasi Pulau Langkawi.

Baginda bertitah, Pulau Langkawi merupakan aset strategik negeri Kedah dan negara yang perlu dipelihara serta dibangunkan secara lestari bagi memastikan ia terus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.

“Beta mahu pembangunan Pulau Langkawi dibentuk mengikut acuan dan identiti tersendiri, tanpa meniru atau membandingkannya seperti Phuket atau Bali.
“Beta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan membuat sebarang tindakan, atau kenyataan yang boleh mencemarkan imej dan reputasi Pulau Langkawi.
“Kekuatan sebenar Langkawi terletak pada khazanah alam semula jadi dan warisan unik yang dimilikinya. Justeru, aset berharga ini wajib dipelihara dan dibangunkan secara lestari,” titah baginda.

Image from: Langkawi bukan Bali atau Phuket! Sultan Kedah titah pembangunan berteraskan identiti sendiri

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Menyembah Tahniah dan Pengurniaan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran Negeri Kedah Tahun 2026 di Istana Anak Bukit, di sini, hari ini.

Turut berangkat ke istiadat itu Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff, serta Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Image from: Langkawi bukan Bali atau Phuket! Sultan Kedah titah pembangunan berteraskan identiti sendiri

Artikel lain: Batu di Langkawi lebih tua daripada dinosaur! Ini sebab pulau legenda ini kekal diiktiraf UNESCO Global Geopark

Dalam pada itu, Sultan Sallehuddin turut menzahirkan hasrat agar Kerajaan Persekutuan memberi kerjasama penuh serta memastikan tiada halangan pentadbiran berlaku di negeri ini, termasuk dalam pengurusan unsur nadir bumi (REE).

Titah baginda, hak dan kuasa negeri dalam mengurus serta meneroka sumber hasil bumi wajar dihormati dan dipermudahkan oleh semua pihak.

“Amatlah rugi sekiranya perkara ini gagal dilaksanakan hanya disebabkan perbezaan pandangan dan pemahaman politik sehingga membelakangkan hak dan keperluan negeri,” titah baginda.

Image from: Langkawi bukan Bali atau Phuket! Sultan Kedah titah pembangunan berteraskan identiti sendiri

Baginda pada masa sama turut menzahirkan kebimbangan terhadap kelewatan pelaksanaan beberapa projek infrastruktur strategik, termasuk Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedah/Anak Bukit yang masih belum siap sejak sekian lama.

Baginda bertitah, kelewatan itu menyebabkan kejadian banjir berulang dan memberi kesan kepada penduduk di kawasan terlibat.

Sumber: Harian Metro (Noorazura Abdul Rahman)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved