LANGKAWI – Mengembalikan status Langkawi sebagai pulau bebas cukai sepenuhnya dilihat mampu merancakkan sektor pelancongan serta mengukuhkan ekonomi setempat, kata Persatuan Penggiat Industri Pelancongan Langkawi.
Pengerusinya, Raseli Yahya berkata, status bebas cukai merupakan antara faktor utama yang menjadi daya tarikan Langkawi sejak sekian lama dan menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan tempatan.
Menurutnya, sebarang pelarasan atau pengurangan terhadap keistimewaan tersebut boleh memberi kesan kepada daya saing pulau berkenaan sebagai destinasi pelancongan utama negara.
“Kami menjunjung kasih dan menyokong sepenuhnya titah Tuanku Sultan Kedah agar kerajaan Persekutuan meneliti semula keistimewaan bebas cukai Langkawi demi kepentingan jangka panjang industri pelancongan serta kesejahteraan komuniti setempat.
“Keistimewaan bebas cukai telah sekian lama menjadi antara pemangkin utama kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi setempat di Langkawi,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika mengulas titah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang mencadangkan agar keistimewaan asal Langkawi sebagai pulau bebas cukai dikembalikan sepenuhnya bagi merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
Menurut Raseli, pendekatan seimbang termasuk pengukuhan infrastruktur serta penambahbaikan dasar sedia ada perlu dilaksanakan bagi memastikan Langkawi kekal berdaya saing.
Katanya, antara barangan yang kini dikenakan cukai ialah kenderaan, produk berasaskan tembakau, kelengkapan sukan, barangan elektronik, pinggan mangkuk dan kelengkapan dapur, pakaian berjenama serta minyak wangi.
Beliau berkata, perubahan tersebut sedikit sebanyak memberi kesan kepada daya tarikan Langkawi yang sebelum ini terkenal sebagai destinasi membeli-belah bebas cukai.
Dalam pada itu, persatuan berkenaan menzahirkan komitmen untuk terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pembangunan Pulau Langkawi kekal mampan, inklusif dan berdaya saing sebagai destinasi pelancongan utama negara.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Sultan Kedah bertitah, walaupun status bebas cukai masih dikekalkan, namun beberapa keistimewaan telah dikurangkan sekali gus menjejaskan daya tarikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama negara.

