LANGKAWI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melihat kedudukan Langkawi sebagai pulau bebas cukai dan pintu masuk strategik negara mendedahkan kawasan itu kepada risiko rasuah, penyeludupan serta jenayah rentas sempadan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Junipah Wandi berkata, aliran keluar masuk manusia dan barangan yang tinggi menjadikan Langkawi terdedah kepada penyalahgunaan kemudahan bebas cukai serta isu berkaitan perkastaman.
Menurutnya, kelemahan dalam sistem penguatkuasaan boleh membuka ruang kepada rasuah yang akhirnya berkembang menjadi sindiket dan mengancam keselamatan serta ekonomi negara.
“Jika ruang ini tidak ditutup, ia bukan sahaja menjejaskan kecekapan pentadbiran, malah boleh merosakkan keyakinan pelabur dan imej negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pejabat SPRM Kedah Cawangan Langkawi di Jalan Padang Matsirat, Kuah di sini pada Ahad.
**media[3496306]**
Tambahnya, penubuhan pejabat berkenaan bukan sekadar memenuhi keperluan operasi, sebaliknya menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh integriti serta menutup ruang kebocoran dalam sistem penguatkuasaan.
“Pendekatan pencegahan dan kesedaran awam perlu diperkasa secara berterusan, bukan hanya bergantung kepada tindakan selepas kes berlaku,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong berkata, pejabat baharu tersebut mula beroperasi pada 1 Februari lalu dengan dilengkapi kemudahan seperti Bilik Rakaman Bervideo (VIR), bilik rakaman percakapan, bilik eksibit serta ruang sita yang mampu memuatkan dua kenderaan pada satu-satu masa.
Menurutnya, cawangan SPRM Langkawi mula ditubuhkan pada 1 Disember 1993 sebelum berpindah ke Kompleks Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) pada 1996.
“Pejabat baharu ini dijangka meningkatkan keupayaan SPRM dalam mengesan, menyiasat dan mengambil tindakan dengan lebih cepat serta berkesan,” katanya.
Beliau turut menegaskan peranan masyarakat sebagai ‘mata dan telinga’ agensi itu amat penting dalam memastikan usaha membanteras rasuah dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
