Langkawi tidak lesu, Exco Kedah minta Teresa semak fakta

LocalTravel
4 May 2026 • 6:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Langkawi tidak lesu, Exco Kedah minta Teresa semak fakta
Pada 2021, Langkawi menerima 1,093,937 pelancong ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19 sebelum meningkat kepada 2,581,605 orang pada 2022. Foto hiasan

ALOR SETAR – Dakwaan kononnya industri pelancongan di Langkawi semakin lesu disangkal kerajaan Kedah yang menegaskan jumlah pelancong ke pulau peranginan itu terus menunjukkan peningkatan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mengaitkan kemerosotan pelancongan dengan kegagalan tadbir urus kerajaan negeri adalah tidak tepat.

Menurutnya, statistik rasmi yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) jelas menunjukkan trend peningkatan jumlah pelancong sejak 2022 tanpa sebarang penurunan.

“Pada 2021, Langkawi menerima 1,093,937 pelancong ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19 sebelum meningkat kepada 2,581,605 orang pada 2022.

“Jumlah itu terus meningkat kepada 2,810,322 orang pada 2023 dan 2,904,629 orang pada 2024, manakala bagi 2025 angka pelancong melonjak kepada 3,215,730 orang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, dakwaan Teresa bahawa Langkawi semakin lesu adalah tidak berasas dan boleh menjejaskan persepsi terhadap industri pelancongan negeri.

Jelasnya, data tersebut disediakan oleh LADA yang merupakan agensi di bawah Kerajaan Persekutuan dan bukannya dikeluarkan oleh kerajaan negeri sekali gus menolak dakwaan bahawa angka itu dimanipulasi.

“Saya menyeru Teresa supaya menyemak fakta sebelum membuat kenyataan serta lebih berhati-hati agar tidak menimbulkan kekeliruan,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Salleh berkata, Kedah turut mencatat prestasi memberangsangkan apabila berada di kedudukan kelima tertinggi sebagai destinasi pelancongan di Malaysia bagi tahun 2024.

Menurutnya, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan negeri itu menerima 6.9 juta pelancong domestik dan antarabangsa pada tahun lalu.

“Walaupun angka rasmi 2025 masih belum diumumkan, jumlah pelancong dijangka terus meningkat melebihi tujuh juta orang,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri akan terus kekal memperkukuh sektor pelancongan serta memastikan Langkawi terus berkembang sebagai destinasi utama negara.