(LANGSUNG) 6 PRN, 1 PRK Bermula, Hari Penamaan Meriah

Politics
29 Jul 2023 • 11:27 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar Ibrahim (tengah, bersongkok) hadir memberi sokongan kepada calon DUN Lembah Jaya, Altimet di Dewan Dato'Ahmad Razali, Ampang - gambar Azlan Hadi Abu Bakar

KUALA LUMPUR - Enam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan satu Pilihan Raya Kecil (PRK) bermula secara rasmi hari ini, sebaik sahaja pusat penamaan calon di 173 lokasi dibuka jam 9 pagi tadi.

Ia melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

PRK di Kuala Terengganu pula diadakan selepas kemenangan diraih calon PAS, Datuk Ahmad Amzad Hashim menerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun lalu.

image is not available
Senarai dan wajah setiap calon Kerajaan Perpaduan untuk PRN Selangor - gambar Pusat Media Maya DUN Selangor

Penamaan calon hari ini juga menandakan bermulanya tempoh berkempen selama 14 hari sehingga jam 11.59 malam, 11 Ogos depan.

Berikut ialah perkembangan terkini, langsung dari beberapa pusat penamaan calon.

11.05am: Calon PN Lembah Jaya, Sharifah Haslizah Syed Ariffin dan calon Bukit Antarabangsa,Sasha Lyna Abdul Latif keluar dari Dewan Dato Ahmad Razali Ampang.

image is not available
Syed Ahmad Syed Abdul Rshman (Altimet) ketiba tiba di Dewan Dato' Ahmad Razali, Ampang - gambar Azlan Hadi Abu Bakar

10.50am: Bekas pemimpin DAP, Ching Boon Lai, yang bertanding di Kuala Kubu Baru atas tiket PRM, bakal berentap dalam pertembungan empat penjuru dengan calon PH-DAP, Lee Kee Hiong, R Siva Prakash (MUDA) dan Teoh Kien Hong (PN-Gerakan).

10.46am: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Dewan Dato’ Ahmad Razali di Ampang bagi memberi sokongan kepada calon PH yang bertanding di Bukit Antarabangsa dan Lembah Jaya.

9.59am: Datuk Afdlin Shauki Aksan tiba di perkarangan SMK Sg Pusu mengetuai rombongan penyokong PH dan BN

image is not available
Afdlin Shauki (bertongkat) hadir memberikan sokongan di perkarangan SMK Sg Pusu - gambar Qurnisha Hamka

9:43am: Penyokong PN, sebahagian besar daripada PAS menunaikan solat di padang bola di SMK Sg Pusu, Gombak.

9.40am: Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang kelihatan di Pejabat Daerah Petaling di Shah Alam, bersama-sama calon PN di Paya Jaras, Abdul Halim Tamuri (PAS) dan Kota Damansara, Razlan Jalaluddin (BERSATU).

9.35am: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang bakal mempertahankan kerusi DUN Rantau untuk kali kelima, tiba dengan diiringi Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

9.25am: Lebih 1,000 penyokong PN menyambut mantan Menteri Besar Kedah,Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor, ketika beliau tiba di Pejabat Pertanian Daerah untuk menyerahkan borang pencalonan bagi DUN Jeneri.

image is not available
Penyokong ini mengenakan pakaian etnik dan menarik perhatian ramai - gambar Azlan Hadi Abu Bakar

Penyokong Sanusi turut menunaikan solat hajat di Pondok Tuan Guru Salleh Musa sebeum mereka berarak ke pusat penamaan calon.

9.09am: Calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi DUN Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, memasuki pusat penamaan calon bersama-sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

9.05am: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke tiba di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yuk Hua di Klawang, Negeri Sembilan, yang menjadi pusat penamaan calon DUN Chennah.

Penyandang kerusi DUN Chennah sejak 2013 itu dijangka berentap melawan pencabar dari PN, Rosmadi Arif.

image is not available
Perbezaan parti tidak menghalang hubungan baik dua sepupu, Rafidy Abdul Rani, 48 (kiri) dan Mohd Rafik Shaffik, 53 - gambar Qurnisha Hamka

9.02am: Calon Pakatan Harapan (PH), orang kenamaan dan penyokong mereka masih belum kelihatan di pusat penamaan calon.

9.00am: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tempoh penyerahan borang pencalonan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri mula dibuka.

8.50am: Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Hulu Kelang), Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia) dan Muhammad Hanif Jamaluddin (Sg Tua) tiba di pusat penamaan calon di SMK Sg Pusu. Mereka diiringi Presiden BERSATU, yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

        View this post on Instagram                      

A post shared by Getaran (@getaranmy)

8.49am: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir tiba di perkarangan pusat penamaan calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sg Pusu. - Getaran, 29 Julai 2023