
Seramai 39,362 pengundi akan menunaikan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) hari ini.
Kesemua 18 pusat mengundi membabitkan 74 saluran akan dibuka dari 8 pagi hingga 6 petang, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 pengundi, ditutup 2 petang.
PRK KKB menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Kerajaan Perpaduan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Ikuti laporan langsung perjalanan dan situasi semasa PRK KKB:

2.40 petang: Satu daripada 18 pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) ditutup jam 2 petang.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Yuhanas Auree Kamaruddin berkata peti undi kemudian akan dibawa ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini.
Sementara itu, menurut SPR peratusan keluar mengundi yang direkod setakat 2 petang 44.68 peratus.

1.58 petang: Seorang ibu bersama anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) saraf membuang undi di Sekolah Rendah Agama Bandar Utama Batang Kali, di sini.
Habsah Othman, 73, menolak kerusi roda anaknya Muhammad Hafiz Abdul Majid, 31, yang baharu pertama kali mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).
“Walaupun anak saya kurang upaya kami suami isteri tetap membawanya pergi mengundi untuk memilih pemimpin masa depan.
“Alhamdulillah, giliran menunggu pun tidak lama mungkin kerana anak saya OKU, saya pun warga emas ada laluan khas,” katanya.

12.48 tengah hari: Peratusan mengundi di PRK DUN KKB lebih rendah berbanding PRK DUN Pelangai (17 Oktober 2023) dan PRK Parlimen Kemaman (2 Disember 2023).
Setakat 12 tengah hari tadi, hanya 32.51 peratus turun mengundi di PRK KKB berbanding 44 peratus ketika PRK DUN Pelangai dan (35 peratus) PRK Parlimen Kemaman.

11.58 pagi: Pasangan warga emas menempuh perjalanan hampir 200 kilometer dari Kuala Kangsar bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.
Abdul Rahim Bidin, 67, berkata dia dan isteri Norani Mansor, 65, yang bertolak sebelum Subuh mengambil masa lebih tiga jam untuk ke Kuala Kubu Baharu.
“Walaupun jauh saya tetap mahu mengundi. Dulu saya tinggal sini dan berpindah ke Kuala Kangsar sejak 10 tahun lalu” kata bekas kakitangan swasta itu selepas membuang undi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khing Ming

10.55 pagi: Kehadiran kembar kepada calon Kerajaan Perpaduan mendapat perhatian pengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khing Ming, di sini.
Lebih menariknya, Pang Sock Tao dan Pang Sock Ying, 31, turut bertemu pasangan kembar yang turun mengundi Chan Sher Er dan Chan Sher Ni, 25.
“Sudah beberapa kali saya teman adik (Sock Tao) berkempen. Masa penamaan juga saya ada datang beri sokongan,” kata Sock Ying yang bekerja sebagai pegawai bank.
Orang Kurang Upaya (OKU) Goh Liew Yong, 36, bersama ibunya Wee Mary, 70, membuang undi di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Ampang Pechah, Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
9.40 pagi: Orang kurang upaya (OKU) kategori sindrom down Goh Liew Yong, 36, selesai membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Ampang Pechah, Kuala Kubu Bharu.
Ditemani ibunya, Wee Mary, 70, Liew Yong yang sudah berpengalaman mengundi sebelum ini kelihatan bersemangat menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat.
Sementara itu, Wee Mary yang sudah lebih lima kali mengundi di DUN berkenaan menyeru orang ramai memanfaatkan peluang untuk keluar mengundi.
“Tidak kira anda OKU, warga emas atau anak muda, jika layak anda perlu cuba sedaya upaya datang ke pusat mengundi untuk memilih pemimpin kawasan,” katanya.
Seorang warga emas Rosli Sarip, 75 mendaftar bagi membuang undi di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali, Hulu Selangor pada 11 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
8.50 pagi: Seorang warga emas berkerusi roda hadir sendirian di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali di sini sekitar jam 7.15 pagi bagi membuang undi.
Mengakui bersemangat untuk mengundi, Rosli sarip, 75, memilih untuk keluar awal ke pusat mengundi yang terletak kurang satu kilometer dari rumahnya.
“Saya mengundi sejak usia 21 tahun hingga sekarang. Penting keluar mengundi kerana ini juga untuk masa depan kita untuk memilih seorang pemimpin yang bertanggungjawab,” katanya.
Yap Yu Seng, 19,
Sementara itu, pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu Yap Yu Seng, 19, teruja pertama kali mengundi dan memilih untuk datang awal ke pusat mengundi Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Khing Ming, sebelum memulakan program sekolahnya di Dataran KKB.
“Saya sampai dalam 7.50 pagi sebab 8.30 pagi perlu ke Dataran KKB untuk program sekolah. Saya tak mahu lepaskan peluang ini jadi minta ayah hantar awal (pusat mengundi),” katanya.

7.45 pagi: Tinjauan Selangorkini di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Ampang Pechah di sini mendapati orang ramai sudah mula beratur bagi melaksanakan tanggungjawab mengundi hari ini.
Pekebun B Kartik, 40, dari Taman Ampang Pechah di sini berkata beliau tiba jam 5 pagi di pusat mengundi berkenaan walaupun rumahnya hanya dua kilometer dari lokasi pengundian.

“Saya memang mahu datang awal. Bukan sebab malas beratur panjang tetapi sebab semangat mahu mengundi,” katanya.
Terdapat lapan saluran disediakan di pusat mengundi ini bagi PRK KKB yang dibuka mulai 8 pagi hingga 6 petang ini.
The post LANGSUNG: Peratus keluar undi di KKB lebih rendah dari Pelangai, Kemaman appeared first on Selangorkini.

