

Lanjut Kontrak, Kazuyoshi Miura Masih Semangat ‘Merumput’ Walau Usia Dah 56 tahun
MADEIRA — “Umur hanyalah angka”, pemain bola sepak profesional tertua didunia, Kazuyoshi Miura, 56, dilaporkan melanjutkan kontraknya bersama pasukan divisyen dua Portugal, Oliveirense hingga tahun hadapan.
Memetik BBC Sport, bekas penyerang Jepun itu menyertai kelab itu secara pinjaman pada Januari dari Yokohama. Dia dilaporkan bakal terus bersama Oliveirense.
Kazuyoshi Miura Lanjut Kontrak
Tempoh rasmi kontraknya bersama kelab Portugal itu telah mendapat persetujuan dan Miura bakal bersama pasukan tersebut hingga musim depan, 2023/24.
Difahamkan, Miura telah bermain sebanyak 28 minit permainan dalam tiga perlawanan sebagai pemain gantian pada tahun ini.
Terkejut Diberikan MOTM

Pemain berusia 56 tahun itu dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan (MOTM) sewaktu menentang Leixoes pada hari terakhir liga Portugal.
Miura atau King Kazu membantu Oliveirense mengatasi cabaran Leixoes setelah mencatatkan kemenangan 4-3.
“Belum tibanya masa untuk saya bersara. Saya mungkin akan bermain sehingga berusia 60 tahun,” katanya selepas perlawanan tersebut.
Tambahnya, dia menyifatkan pemilihan sebagai pemain terbaik perlawanan itu sebagai satu persoalan untuk dirinya yang sudah berusia.
“Dalam perlawanan yang mempunyai tujuh gol, saya tidak faham bagaimana mereka boleh memberikan MOTM kepada saya,” katanya.
Untuk makluman kelab Yokohama dan Oliveirense berada di bawah pemilik Jepun yang sama.
Karier Bola Sepak Miura Kazuyoshi, Pemain Bola Tertua

Kazuyoshi Miura memulakan karier bola sepaknya bersama pasukan Brazil, Santos pada 1986.
Kemudian, dia telah berhijrah ke kelab di Jepun, Yokohama Football Club pada 2005.
Miura juga pernah dipinjamkan ke divisyen keempat bersama pasukan Suzuka Point Getters yang dikendalikan oleh abangnya Yasutoshi, pada 2022.
Sewaktu berada di bawah kendalian abangnya, dia berjaya menjaringkan dua gol dalam 18 perlawanan.
Bukan itu sahaja, Miura juga pernah bermain bersama kelab bola sepak di Itali, Croatia dan Australia.
Lagenda bola sepak Jepun itu berjaya menjaringkan 55 gol menerusi 89 perlawanan dalam pasukan kebangsaan sejak 23 tahun lalu.
Sumber: BBC Sports, Sport Bible, Daily Star
The post Lanjut Kontrak, Kazuyoshi Miura Masih Semangat ‘Merumput’ Walau Usia Dah 56 tahun appeared first on Siakap Keli.
