Lanjutkan ECRL Ke Sungai Golok Untuk Tingkatkan Hubungan 2 Negara

23 May 2025 • 8:00 AM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Sambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Sungai Golok akan melengkapkan ketiadaan koridor timur Laluan Rel Singapura–Kunming (SKRL).

Profesor Madya Universiti Teknologi MARA (UiTM) merangkap Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MiTRANS), Dr Wan Mazlina Wan Mohamed, berkata ia akan menghubungkan laluan rel Hat Yai-Sungai Golok yang dirancang Thailand.

"Ini boleh mewujudkan jambatan darat alternatif dan berdaya tahan antara Pelabuhan Klang, Pelabuhan Kuantan, dan seterusnya ke Kunming melalui selatan Thailand.

"Walaupun jajaran barat SKRL sudah melalui Padang Besar dan Hat Yai, koridor timur melalui Kelantan masih tiada," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian bagi memberi respon terhadap cadangan duta Thailand ke Malaysia, Lada Phumas, baru-baru ini, mencadangkan supaya projek ECRL Malaysia, bermula di Kota Bharu, diperluaskan ke sempadan Sungai Golok untuk meningkatkan hubungan rel antara Thailand dan Malaysia.

Wan Mazlina berkata, sambungan ECRL itu akan meningkatkan integrasi rel serantau dan menyokong Pelan Induk ASEAN mengenai Kesalinghubungan 2025.

image is not available

Kemudahan sempadan yang diperkemas termasuk pos imigresen, kastam, kuarantin dan keselamatan (ICQS) yang dinaik taraf, akan menjadi penting untuk memudahkan perdagangan dan pergerakan rentas sempadan yang lebih lancar," katanya.

Dari segi ekonomi, beliau berkata perhubungan lebih baik akan menyokong matlamat pembangunan Kelantan di bawah Koridor Tanah Merah-Tumpat dan membantu negeri itu menarik RM9.5 bilion pelaburan swasta menjelang 2025.

"Projek itu juga seiring dengan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 terutamanya objektifnya untuk meningkatkan bahagian mod rel dalam pengangkutan barang dan mengukuhkan daya saing Pantai Timur dalam rantaian bekalan serantau," katanya.

Dari segi ekonomi pengangkutan, Wan Mazlina berkata pengangkutan rel adalah kira-kira 30 peratus lebih murah daripada pengangkutan jalan untuk kargo pukal, menerusi sambungan itu, masa transit antara Kota Bharu dan Bangkok boleh dikurangkan daripada 24 jam kepada hanya 12 jam sahaja.