Lantik Exco baharu dalam tempoh 48 jam - Ab Rauf

Politics
31 Mar 2023 • 5:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ab Rauf ketika hadir pada sidang akhbar di Kompleks Seri Negeri di sini, pada Jumaat.

MELAKA - Barisan Exco Melaka baharu akan dilantik dalam tempoh 48 jam selepas berlangsung istiadat angkat sumpah Ketua Menteri ke-13, pada petang Jumaat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, beliau akan merujuk dan mendapatkan 'petua' daripada pucuk pimpinan parti untuk memutuskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan dilantik sebagai Exco baharu.

Bagaimanapun, beliau akan mempertimbangkan dan memutuskan sama ada barisan Exco baharu itu akan menampilkan ADUN daripada Pakatan Harapan (PH) atau tidak selepas mendapat panduan pucuk pimpinan parti terlebih dahulu.

Katanya, setakat ini sebanyak 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi Barisan Nasional (BN) manakala pembahagian 10 jawatan itu akan dibuat dalam kalangan mereka yang menang.

"Exco terdahulu sewaktu zaman Datuk Seri Sulaiman Md Ali secara automatik terbubar.

"Akan rujuk Presiden UMNO dahulu untuk dapatkan apakah hala tuju, kemudian saya akan mengambil petua tersebut untuk merangka Exco Kerajaan Negeri," katanya.

Ab Rauf berkata kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas menandatangani dokumen pelantikan Ketua Menteri Melaka Ke-13 pada Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka ke-13 di Dewan Seri Utama Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka Ayer Keroh, di sini pada Jumaat.

ADUN Tanjung Bidara ketika ditanya sama ada akan melantik semula Exco lama atau sebaliknya, beliau menjawab ia bergantung kepada ilhamnya sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: