Lantik punca kuasa selaras pembangunan semula bandar

LocalPolitics
26 Feb 2025 • 11:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Wacana Sinar menampilkan (dari kiri) hos, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan ADUN Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

image is not available
Muhammad Izuan dalam program Wacana Sinar bertajuk 'Benarkah Akta PSB hendak pinggirkan rakyat' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.

SHAH ALAM - Kerajaan disaran melantik satu punca kuasa yang jelas untuk menyelaras usaha pembangunan semula bandar secara lebih sistematik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kassim berpandangan, pihak berkenaan bertanggungjawab untuk melantik pemaju yang akan melaksanakan pembaharuan bandar di bawah Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) kelak.

**media[3024613]**

Selain itu ia berhak meletakkan syarat kelayakan berdasarkan penilaian dan bukan bergantung kepada kemampuan kewangan pemaju semata-mata.

"Dengan adanya pembaharuan semula bandar, perkara melibatkan hak milik tanah, strata yang dibangkitkan sejak puluhan tahun diserahkan semula kepada kerajaan untuk menyelesaikannya.

"Selain itu saya juga bersetuju sekiranya nilai ambang dipertimbangkan semula kerana kita perlu lihat dari sisi lebih luas iaitu tidak menzalimi majoriti penduduk yang bersetuju," katanya dalam program Wacana Sinar bertajuk 'Benarkah Akta PSB hendak pinggirkan rakyat' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Turut diundang sebagai panelis, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman manakala Ahmad Fahmi Mohd Samsudin bertindak sebagai hos.

Dalam pada itu Muhammad Izuan berpendapat, RUU PSB memberi pilihan kepada rakyat untuk menentukan kehidupan mereka selain memberi nilai tambah kepada hartanah.

"Berdasarkan survey yang dilakukan terhadap 1,500 responden di 37 rumah kos rendah, masalah mereka adalah kes kecurian selain anak muda yang terjebak dengan dadah.

"Walaupun kes tersebut tidak dapat diselesaikan dengan hanya pembaharuan semula, sekurang-kurangnya kawasan kediaman dilengkapi dengan CCTV, pengawal keselamatan dan ada ruang privasi dengan bilangan bilik yang lebih banyak dalam sebuah unit kediaman," ujarnya.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, RUU PSB tidak akan menyebabkan pemilik asal hartanah tanpa mengira kaum diusir daripada pemilikan tanah atau premis secara paksaan.

Anwar malah memberi jaminan status tanah yang asal sama ada Rizab Melayu atau status kekal juga tidak akan berubah dibawah RUU berkenaan.